Khamis, 28 April 2022 | 6:26pm

'Polis tak tahan individu ada saman banyak, waran tangkap'

KOTA BHARU: Polis tidak akan menahan dan mengambil tindakan terhadap individu yang memiliki banyak saman dan ada waran tangkap di sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat ke-18 (Op Selamat 18) ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata tindakan itu tidak diambil dalam tempoh ini kerana tugas pihaknya sempena Op Selamat bagi melancarkan perjalanan pengguna balik ke kampung halaman.

"Kita mahu semua pengguna dapat pulang ke kampung dengan selamat untuk meraikan hari raya memandangkan sudah dua tahun tidak boleh balik susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Selain itu, pihak JSPT menggunakan alat bantuan teknologi Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) dan alat pengesan had laju In-Car Radar untuk mengesan kenderaan laju, tidak mengikut peraturan jalan raya termasuk individu yang ada rekod dalam pangkalan data kita dan mempunyai waran tangkap.

"Namun, pihak kita tidak akan menahan mereka yang mempunyai saman yang banyak dan waran tangkap. Bukan fokus kita nak tangkap mereka dan alat itu (iCOPS dan In-Car Radar) lebih bantu kami untuk menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat kepada Datuk Muhamad Zaki Harun yang memangku Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dipetik berkata, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.

Katanya, polis akan mengoptimumkan penggunaan alat pengesanan had laju 'In-Car Radar' di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat itu.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, polis akan menyantuni masyarakat bagi melancarkan perjalanan dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk membantu permudahkan pengguna di jalan raya.

"Kita tidak akan menggunakan kuasa tertentu kerana matlamat Op Selamat untuk membantu melancarkan perjalanan di jalan raya di seluruh negara.

"Untuk tahan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan bukan pada masa Op Selamat atau hari raya," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima unit iCOPS digunakan di seluruh negara termasuk di utara, selatan dan pantai timur.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan kepada individu terbabit dengan kes jenayah.

Shafien (kiri) menyerahkan tugas kepada Muhamad Zaki (kanan) sambil disaksikan Mat Kasim di IPK Kelantan hari ini.NSTP/ HIDAYATIDAYU RAZALI
Shafien (kiri) menyerahkan tugas kepada Muhamad Zaki (kanan) sambil disaksikan Mat Kasim di IPK Kelantan hari ini.NSTP/ HIDAYATIDAYU RAZALI
Berita Harian X