KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan lebih ketat bersama penganjuran kempen dan program kesedaran lebih hebat perlu dilaksanakan dalam usaha membanteras perdagangan rokok haram di negara ini.
Selain larangan terhadap individu lahir mulai 1 Januari 2005 membeli rokok, tembakau dan vape, kempen dan program kesedaran harus ditingkatkan untuk mendidik generasi muda mengenai bahaya merokok secara menyeluruh.
Timbalan Pengarah Strategik PKR, Datuk Ramanan Ramakrishnan, berkata cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok adalah langkah tepat, namun ada banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memastikan kejayaan akta berkenaan.
"Usaha mesti dipergiat untuk memastikan penggubalan akta itu tidak menyebabkan wujudnya permintaan terhadap produk tembakau haram.
"Walaupun jualan rokok haram turun sebanyak 6.5 peratus daripada 63.8 peratus pada 2020, ia sebenarnya masih tinggi dan menurut laporan, Malaysia kekal di kedudukan pertama bagi pemerdagangan rokok haram.
"Tindakan serius mesti diambil untuk menangani perkara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebimbangan turut disuarakan Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) berikutan sindiket penyeludupan menggunakan kaedah baharu untuk membawa masuk rokok haram ke Malaysia.
"Justeru, selain melarang individu lahir mulai 1 Januari 2005 membeli rokok, tembakau dan vape, pihak berkuasa juga harus meningkatkan kempen dan program kesedaran untuk mendidik golongan ini mengenai bahaya merokok secara menyeluruh.
"Kita tidak mahu belia mencari alternatif lain hanya kerana mereka tidak mampu membeli rokok dan produk tembakau lain. Kita juga perlu tanamkan dalam fikiran mereka bahawa sebarang bentuk ketagihan adalah tidak baik kerana selagi ada keinginan, mereka akan mencari jalan untuk mendapatkannya," katanya.
Katanya, dalam belanjawan negara, kerajaan berusaha sehabis baik untuk mengekang amalan merokok dengan menaikkan harga rokok dan produk tembakau, namun perokok masih mempunyai akses kepada produk gantian, khususnya rokok seludup.
Beliau yang menyambut baik usaha diterajui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan usaha menamatkan generasi merokok di negara ini bukan hanya terletak pada komitmen KKM, tetapi juga melalui peranan semua pihak berkaitan.
Sebelum ini, Khairy memaklumkan, akta baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.
Katanya lagi, pengenalan akta baharu itu akan dapat mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama menyebabkan kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.