Khamis, 28 April 2022 | 1:26pm
SPRM menegaskan agensi itu berhak menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah laporan atau aduan rasmi dibuat. - Foto hiasan
SPRM menegaskan agensi itu berhak menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah laporan atau aduan rasmi dibuat. - Foto hiasan
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis menafikan tuduhan yang dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin. - Foto fail NSTP
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis menafikan tuduhan yang dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin. - Foto fail NSTP

SPRM berhak siasat hakim berdasarkan laporan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan agensi itu berhak menyiasat mana-mana pegawai badan awam setelah laporan atau aduan rasmi dibuat.

Kenyataan SPRM itu susulan kritikan terhadap agensi itu setelah ia mengesahkan membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa menerima sejumlah wang.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, agensi itu diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap pegawai badan awam yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta berkenaan.

"Seksyen itu menyebut 'pegawai badan awam' ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.

"Berdasarkan prosedur, SPRM bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang sudah dibuat kepada SPRM membabitkan perkara di bawah bidang kuasanya," kata SPRM.

SPRM sebelum ini dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan manakala Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

Khamis lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya pula berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

SPRM berkata, agensi penguat kuasa itu turut mempunyai rekod menyiasat hakim dan kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat penilaian.

"Selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya," kata SPRM.

Mengulas kes Mohd Nazlan, SPRM berkata, siasatan itu masih berada di fasa awal dan ia membabitkan kepentingan awam.

"SPRM menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April 2022.

"Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu, ia tidak bermakna individu itu sudah melakukan kesalahan dan masyarakat perlu beri ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X