Rabu, 27 April 2022 | 4:42pm
Orang ramai menyalakan lilin sebagai tanda sokongan terhadap Nagaenthran menjelang pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia itu di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. - REUTERS
Orang ramai menyalakan lilin sebagai tanda sokongan terhadap Nagaenthran menjelang pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia itu di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. - REUTERS

Mayat Nagaenthran dijangka tiba di kampungnya 11 malam ini

IPOH: Mayat rakyat Malaysia, Nagaentran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pagi tadi selepas didapati bersalah menyeludup dadah ke negara itu pada 2009 dijangka tiba di kampung halamannya di Tanjung Rambutan, di sini, jam 11 malam ini.

Rakan rapat seorang daripada ahli keluarga Nagaenthran yang hanya mahu dikenali sebagai Mani berkata, pengebumian dijangka pada Jumaat ini.

Beliau berkata, bagaimanapun masih belum diputuskan mengenai lokasi pengebumian mendiang kelak sama ada di Buntong atau Bercham, di sini.

Katanya, ibu Nagaenthran, S Panchalai baru tiba di rumah pagi tadi dari Singapura, namun enggan bercakap buat masa ini.

"Ibunya baru tiba di rumah pagi tadi, hanya abangnya yang masih di Singapura membuat urusan untuk membawa pulang jasad mendiang.

"Beri mereka sedikit masa. Datang lagi petang ini selepas jam 9 malam untuk berjumpa ibunya atau adik-beradik Nagaenthran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Nagaenthran di Taman Indah di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati, ahli keluarga sudah mula berkumpul di rumah keluarga mendiang itu.

Awal pagi tadi, media melaporkan hukuman mati terhadap Nagaenthran sudah dilaksanakan di Singapura selepas cabaran undang-undang terakhir yang dibuat oleh ibunya gagal dalam kes itu yang turut menarik tumpuan antarabangsa untuk pengampunan.

Nagaenthran adalah seorang lelaki yang dilaporkan cacat intelek dengan IQ 69, dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin ke Singapura yang mempunyai beberapa undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Abangnya, Navin Kumar, 22, dilaporkan memberitahu Reuters melalui telefon hukuman mati itu sudah dijalankan pagi tadi selain menambah pengebumian akan diadakan di Ipoh, Perak.

Kesnya menarik perhatian ramai, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan pada 7 November tahun lalu menulis surat kepada rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

Berita Harian X