Rabu, 27 April 2022 | 1:32pm
Majlis Peguam meminta pendekatan berhati-hati oleh pihak berkuasa dan tidak terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang oleh jaguh papan kekunci di alam siber yang membuat tuduhan terhadap badan kehakiman.
Majlis Peguam meminta pendekatan berhati-hati oleh pihak berkuasa dan tidak terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang oleh jaguh papan kekunci di alam siber yang membuat tuduhan terhadap badan kehakiman.

Ikut lunas perlembagaan siasat hakim

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disifatkan bertentangan perlembagaan, melanggar doktrin pengasingan kuasa dan menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn, berkata ada mekanisme ditetapkan bagi menangani isu terbabit dan sebarang percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh dilihat sebagai menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

"Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan menyediakan cara khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman ditangani dalam suatu cara tertentu yang akan memastikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman berterusan.

"Tanpa keyakinan yang diperlukan diterapkan kepada badan kehakiman sebagai sebuah institusi, pentadbiran sistem kehakiman tidak akan mendapat penghormatan dan penerimaan yang penting terhadap keberkesanan operasinya dalam pentadbiran kehakiman kita," katanya dalam kenyataan.

Semalam bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menerusi hantaran di Twitter berkata, konsep pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman tidak bermaksud kekebalan penuh terhadap semua peruntukan undang-undang.

Katanya, ia merujuk kepada peraturan kendiri membabitkan sesetengah perkara tetapi tidak semuanya. Hakim adalah tidak kebal terhadap pendakwaan jenayah.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hantaran itu merujuk kepada isu siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan. Malah beberapa pihak membidas siasatan terbabit yang disifatkan bukan sahaja melanggar prinsip pengasingan kuasa malah serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

SPRM sebelum ini dilaporkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan ia prosedur biasa selepas menerima laporan rasmi.

Khamis lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai status sejumlah wang dalam akaun hakim itu.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Selain itu Karen berkata, merujuk siasatan SPRM itu, orang ramai juga tidak jelas mengenai siapa yang membuat laporan terbabit atau bila laporan seperti itu dibuat.

"Apa yang jelas kepada Majlis Peguam Malaysia ialah tidak sepatutnya terdapat pilih kasih oleh pihak berkuasa dalam menangani isu yang sama.

"Berdasarkan kepada asas ini, kami mendesak siasatan yang sama dijalankan polis terhadap laporan yang dibuat Nazlan terhadap dakwaan yang dibangkitkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Raja Petra Kamarudin dalam blognya, Malaysia Today pada 20 April 2022," katanya.

Tambah beliau, pihaknya sedar sepenuhnya bahawa badan kehakiman tidak berada dalam sebarang kedudukan untuk mengambil langkah bagi melindungi diri dengan membabitkan badan itu dalam perbicaraan oleh media atau mana-mana bentuk kontroversi awam.

"Justeru terdapat satu keperluan bagi Majlis Peguam Malaysia untuk melindungi maruah dan integriti mahkamah dan badan kehakiman secara keseluruhannya memandangkan sifat badan itu yang sentiasa tidak dapat mempertahankan diri daripada kritikan atau tuduhan liar yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Karen berkata, sebarang siasatan SPRM akan mewujudkan "duluan tidak menyenangkan", selain memberi kesan buruk pada masa depan dalam situasi sama terhadap badan kehakiman mahu pun hakim individu.

"Memandangkan keadaan ini muncul, menjadi lebih kerap pada masa kini apabila seseorang berselindung di sebalik keselesaan alam siber.

"Kami meminta pendekatan berhati-hati oleh pihak berkuasa kita dan tidak terpengaruh dengan desakan suara-suara sumbang dibuat oleh jaguh papan kekunci di alam siber," katanya.

Berita Harian X