Rabu, 27 April 2022 | 12:59pm
Tertuduh, Khalid Redza Shuib (baju putih), 41, tukar pengakuan tidak bersalah sebelum sempat mangsa kongsi penderitaan cedera parah
Tertuduh, Khalid Redza Shuib (baju putih), 41, tukar pengakuan tidak bersalah sebelum sempat mangsa kongsi penderitaan cedera parah

'Tertuduh tukar pengakuan, sebelum mangsa kongsi cerita'

Seremban: Tindakan tertuduh dua kes bunuh di Bukit Putus dan Jalan Bukit Zamrud di sini, menukar pengakuan daripada bersalah kepada tidak bersalah, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita ketika sebutan semula kes itu, menyebabkan hukuman terhadapnya tertangguh di Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, menukar pengakuan itu di hadapan Majistret Seremban, Mohd Firdaus Saleh, sejurus pertuduhan dibacakan ketika sebutan semula kes itu.

Ketika prosiding pendakwaan pada 13 April lalu, Khalid mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Siti Syarifah Aibiddin, 35, dalam kejadian di sebuah rumah dekat Taman Nee Yan, Seremban di antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 325, Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan sebelum ini, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baru dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.

Pagi ini, Siti Syarifah dilihat hadir di mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan berkerusi roda sambil diiringi bapanya dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mangsa itu dijadualkan memberikan kenyataan impak dan mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, namun prosiding itu tidak dapat diteruskan hari ini, susulan tindakan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Peguam, Datuk Hanif Hassan, mewakili keluarga Siti Syarifah, berkata mangsa hari hadir ke mahkamah untuk mengemukakan kenyataan impak dengan kerelaannya sendiri

"Nampak semangat mangsa yang tinggi (untuk hadir) dan kini dia dijaga oleh keluarga," katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah, hari ini.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pada 13 April lalu, melaporkan Khalid dan seorang anaknya yang berusia 18 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama namun tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan melaporkan polis menemukan rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Bukit Zamrud, 7 April lalu selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

Pada 28 Mac lalu juga polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud bagi menunjukkan lokasi tempat kanak-kanak itu ditanam.

Berita Harian X