Rabu, 27 April 2022 | 12:06pm
Trend penghidap kanser payudara sudah berubah apabila lebih ramai wanita bawah 40 tahun didiagnosis menghidap kanser. (Foto hiasan)
Trend penghidap kanser payudara sudah berubah apabila lebih ramai wanita bawah 40 tahun didiagnosis menghidap kanser. (Foto hiasan)

Kadar kanser payudara semakin meningkat bagi golongan muda

STATISTIK Kementerian Kesihatan (KKM) pada Februari lalu mendedahkan seorang daripada sembilan wanita di negara ini berkemungkinan menghidap penyakit kanser. 

Daripada kalangan wanita itu 33.9 peratus mengidap kanser payudara, kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Aqilah Othman, berkata keadaan itu semakin membimbangkan berikutan trend penghidap kanser payudara sudah berubah apabila lebih ramai wanita bawah 40 tahun didiagnosis menghidap kanser.

"Pada masa sekarang, ramai wanita bawah usia 40 tahun didapati menghidap kanser payudara dan angka itu kian meningkat tanpa kita tahu penyebabnya. Begitu juga dengan pesakit wanita yang menghidap kanser kolorektal atau kanser usus.

"Secara umumnya, sekarang ini ramai pesakit berusia antara 20 dan 40 tahun sudah didiagnosis kanser, malah ada pesakit saya menghidap kanser payudara walaupun beliau baru berusia awal 20-an," katanya kepada BH ketika diminta berkongsi pengalamannya merawat pesakit kanser dalam kalangan usia muda.

Katanya, beberapa pertimbangan perlu dibuat dalam memberikan rawatan kepada pesakit muda berhubung perkara berkaitan fertiliti atau kesuburan terutama hal yang membabitkan perancangan memiliki zuriat.

"Meskipun kaedah rawatan kanser payudara ini lebih kurang sama seperti kemoterapi dan radioterapi, tetapi bagi pesakit muda kita perlu lihat sama ada sudah mempunyai zuriat atau tidak, merancang untuk menambah zuriat dan lain-lain.

"Jadi rawatan mereka perlu ditukar dengan kaedah lain bagi memelihara kesuburan dan jika perlu mereka dirujuk kepada pakar kesuburan," katanya.

Bagaimanapun katanya, rawatan secara tertumpu (targeted treatment) akan dipertimbangkan selain akan terus memberikan rawatan susulan terutama bagi kes berkaitan genetik untuk memastikan sel kanser itu tidak kembali menyerang.

"Malah untuk rawatan susulan pun mungkin berbeza antara pesakit muda dan berusia, kerana rawatan perlu disesuaikan mengikut usia, tahap kanser, kebarangkalian berulang dan lain lain faktor. Jadi dalam hal ini, kita perlu lihat ciri-ciri kanser itu sendiri kerana setiap orang adalah berbeza, rawatan optimum untuk kanser itu, dan tahap ketahanan pesakit" katanya.

Katanya, trend membimbangkan apabila golongan muda lambat didiagnosis berikutan faktor usia mereka membuatkan mereka tampil mendapatkan rawatan selepas berada dalam tahap yang lebih serius.

"Kebiasaannya gejala mereka ini adalah sama iaitu ada benjolan pada payudara yang mana sukar untuk dikesan jika hanya dengan memeriksa sendiri pada tahap awal kerana jika boleh dirasa sendiri, ia biasanya dianggarkan sudah berukuran lebih daripada 1.5-2.0 sentimeter. Ini berbeza dengan wanita berusia lebih 40-an yang biasa melakukan ujian saringan mamogram di mana ia boleh dikesan awal sebelum ia membesar sehingga boleh dirasa sendiri walaupun saiznya kecil.

"Pengesanan dan rawatan awal pada tahap satu dan dua mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi," katanya sambil menjelaskan keadaan payudara ada kalanya akan menunjukkan perubahan kulit seperti tertarik ke dalam, kemerahan atau berbiji, bentuk payudara berbeza, dan lain-lain.

Dalam pada itu, Dr Aqilah berkongsi pengalamannya merawat salah seorang pesakitnya yang didiagnos pada umur pertengahan 20an yang mulanya tidak yakin untuk menjalani rawatan kerana keluarga dan kawan-kawan lebih mendorongnya untuk menukar cara pemakanan dan juga mencuba kaedah urutan dengan harapan kansernya sembuh sendiri.

"Gadis itu seperti kebanyakan wanita lain, takut menjalani rawatan namun selepas empat minggu mengubah corak pemakanan, beliau kembali ke hospital untuk melakukan imbasan dan ketika itu dapat dikesan sel kansernya semakin membesar.

"Melihat kepada betapa cepat kanser itu membesar, beliau bersetuju untuk menjalani kemoterapi dan selepas selesai satu kitaran rawatan secara tertumpu (targeted treatment), dalam masa tiga minggu sahaja, benjolan payudaranya sudah mengecil. Setelah selesai rawatan kemoterapi, prosedur pembedahan dijalankan.

"Ketika dalam rawatan, saya menasihatkannya supaya bersenam dan juga meneruskan aktiviti seharian seperti biasa sebanyak mungkin. Kesan sampingan daripada kemoterapi, beliau kehilangan rambut dan saya meyakinkannya bahawa ia adalah kesan sementara," katanya.

Lebih membanggakan, Dr Aqilah berkata, beliau berjaya menjadikan hobi menjahitnya sebagai satu bentuk perniagaan dan mengusahakan jualan turban di media sosial, satu inspirasinya sebagai pesakit kanser payudara.

"Keluarga yang sebelum ini kurang bersetuju dengannya untuk melakukan rawatan mula memberikan sokongan penuh kerana anak mereka kini hidup dengan lebih positif, sihat dan bebas daripada kanser disebabkan persetujuannya mengikuti saranan doktor.

"Kisah ini antara pengalaman saya menangani pesakit kerana bagi saya doktor tidak boleh memaksa pesakit. Saya hormat pendirian mereka dan akan memberitahu apa pilihan mereka untuk bertahan, jangkaan hayat serta menceritakan pengalaman pesakit lain. Keputusan untuk membuat rawatan harus datang daripada keinginan dan kesedaran mereka sendiri" katanya.

Sebagai doktor, Dr Aqilah cukup gembira apabila pesakit sembuh dan mereka mula mengubah gaya hidup ke arah lebih sihat dan menasihatkan semua orang untuk mengurangkan risiko kanser payudara seperti mengelakkan makanan tinggi gula, berprosesdan melakukan ujian saringan awal.

Katanya, kebanyakan kekangan yang ada kepada pesakit muda ialah mereka mengalami tekanan sosial dan emosi yang tinggi, memikirkan kemungkinan mereka tidak hidup lama, kerisauan untuk memiliki zuriat dan banyak lagi.

"Jadi sokongan sangat penting terutama ketika pesakit dalam rawatan tetapi kebiasaan kesan itu dialami sementara saja, kebanyakan mengatakan mereka lebih sihat berbanding sebelum diagnosis," katanya sambil menegaskan mereka yang berada pada peringkat awal dan lebih cepat berjumpa doktor, mempunyai potensi tinggi untuk sembuh sepenuhnya.

Berita Harian X