Rabu, 27 April 2022 | 9:32am
Orang ramai menyalakan lilin sebagai tanda sokongan terhadap Nagaenthran menjelang pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia itu di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. - REUTERS
Orang ramai menyalakan lilin sebagai tanda sokongan terhadap Nagaenthran menjelang pelaksanaan hukuman mati terhadap warga Malaysia itu di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur. - REUTERS

Nagaenthran dihukum gantung di Singapura hari ini

SINGAPURA: Rakyat Malaysia, Nagaentran Dharmalingam yang didapati bersalah menyeludup dadah ke Singapura pada 2009, menjalani hukuman mati di Penjara Changi di sini, pagi ini.

Perkara itu disahkan adiknya, Navin Kumar yang turut memaklumkan mayat Nagaentran, 34, yang juga anak kedua daripada empat beradik akan dihantar pulang ke Ipoh hari ini.

Ketika dihubungi BERNAMA, Navin masih berada di Penjara Changi untuk menuntut mayat abangnya.

Semalam, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengenepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.

Panchalai Supermaniam memfailkan permohonan itu dengan bantuan rakan dan aktivis tanpa diwakili mana-mana peguam.

Perbicaraan didengar di hadapan tiga Hakim iaitu Andrew Phang, Judith Prakash dan Belinda Ang.

Asas kepada cabaran undang-undang itu ialah Hakim Sundaresh Menon yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran sebelum ini merupakan Peguam Negara yang mendakwa Nagaenthran dan memastikan sabitannya.

Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaentran berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.

Berasal dari Perak, Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, namun memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk percubaan rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.

Pada 7 November 2021, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

Sementara itu, pada 3 Disember, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran sudah pun diberikan proses undang-undang yang sewajarnya. - BERNAMA

Berita Harian X