KUALA LUMPUR: Banjir yang berulang dalam tempoh empat bulan, menyebabkan penduduk sekitar Jalan Kolam Air di sini, terkesan emosi masing-masing apabila trauma setiap kali hujan lebat.
Banjir kilat yang kembali melanda semalam tidak mengakibatkan kerosakan harta benda yang besar kerana hampir semua perabot yang rosak ketika bencana akhir tahun lalu sudah dibuang.
Beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka kini penat membersihkan rumah dan membelanjakan wang simpanan untuk membaiki kenderaan hingga sentiasa dalam kebimbangan setiap kali berlaku hujan lebat.
Pesara kerajaan, Kamla Pillai, 82, berkata banjir kelmarin yang pertama tahun ini selepas Disember tahun lalu dan beliau yang tinggal seorang, tidak sempat mengalihkan barang penting.
"Saya amat terkejut apabila air mula memasuki rumah setinggi paras lutut hingga perabot dan semua barang elektrik ada yang tak sempat diselamatkan.
"Ruangan dapur saya ditenggelami air melepasi paras pinggang menyebabkan peti sejuk tenggelam," katanya.
Pemandu lori, Lau Poh Kow, 57, berkata dia berada di tempat kerja semasa air mula memasuki kediamannya dan segera pulang, selepas dimaklumkan isterinya.
"Banjir berlaku akibat daripada longkang yang tersumbat dengan sampah dan air bertakung. Sebelum banjir Disember lalu, ada kontraktor mengorek sampah dari sungai dan banjir sudah tidak berlaku selama dua tahun, hinggalah semalam," katanya.
Seorang lagi penduduk, Sheo Sai Choo, 55, berkata rumahnya tenggelam hampir paras lutut dalam tempoh kurang sejam kerana rumahnya berada di kawasan rendah.
"Nasib baik anak-anak saya berada di dalam rumah dan membantu mengalihkan barang berharga. Saya kecewa kerana tidak dapat bantuan dari agensi kerajaan, selepas banjir Disember lalu dan banjir semalam," katanya.
Jirannya, Zing Zing, 20, berkata beliau mengalami kerugian hampir RM20,000 selepas semua kelengkapan rumah dan barang perniagaannya, iaitu beg dan baju rosak ditenggelami air.
Katanya, saudara mara membantu membersihkan rumah dan mengeluarkan perabot yang rosak.