Selasa, 26 April 2022 | 3:54pm
Pulau Batu Puteh. - Foto arkib NSTP
Pulau Batu Puteh. - Foto arkib NSTP

Pasukan Petugas Khas Batu Putih bentang laporan interim

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan semalam mengemuka dan membentangkan laporan interimnya berhubung isu itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan dengan PPK semalam, berkata pihaknya mengambil maklum dan turut memberi input penambahbaikan.

"Secara umumnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan ini mengambil maklum Laporan Interim yang dibentangkan oleh PPK dan turut memberikan input penambahbaikan untuk perhatian PPK.

"Laporan akhir akan disediakan dan dibentangkan dalam masa terdekat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. -
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. -

Wan Junaidi berkata, PPK yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dilantik oleh Perdana Menteri bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan mengesyorkan opsyen-opsyen terbaik mengenai hala tuju Kerajaan berhubung kes berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata, Kerajaan amat komited dengan keputusan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

Katanya, PPK hingga kini, sudah 12 kali bermesyuarat, membabitkan beberapa siri mesyuarat PPK dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil Legal Aspects, Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance dan Jawatankuasa Kecil Hubungan Malaysia-Singapura.

"Pasukan Petugas Khas ini adalah sebuah pasukan dengan kepelbagaian pengalaman, kepakaran dan pengetahuan yang menjadi kekuatan untuk menghasilkan dapatan dan opsyen yang terbaik bagi Malaysia," katanya.

Selain Mohamed Apandi, PPK turut dianggotai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Abu Bakar As-Sidek, Datuk Mohd Sidek dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin, peguam; bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Datuk Ahmad Nazri Yusof; wakil Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Datuk Abd Kadir; wakil Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Hamdan Ab. Aziz dan wakil Kementerian Luar, Shaharudin Onn.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pelantikan Mohamed Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Beliau dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian secara menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, ia bagi menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berhubung kes Pulau Batu Puteh.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia, selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting menunjukkan pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh di bawah Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau itu milik Johor.

Bagaimanapun, Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman, berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan beberapa hari sebelum kes dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.

Berita Harian X