Selasa, 26 April 2022 | 3:48pm
Banjir kilat di Jalan Rahmat berhampir Bangunan WTCKL susulan hujan lebat semalam - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Banjir kilat di Jalan Rahmat berhampir Bangunan WTCKL susulan hujan lebat semalam - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Projek tebatan banjir sedang disiapkan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menyiapkan Program Pengurusan Banjir Kuala Lumpur (PPBKL) bagi mengatasi masalah banjir di ibu kota.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata projek berkenaan yang dimulakan sejak beberapa Rancangan Malaysia terdahulu dilaksanakan dalam empat fasa utama berikutan kos keseluruhan yang terlalu tinggi.

Beliau berkata JPS sudah mempertimbangkan kawasan tadahan seluas 520 kilometer persegi iaitu kawasan tadahan bagi sungai yang menyumbang aliran ke Kuala Lumpur.

"Fasa pertama ialah pembinaan projek Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART)," katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Beliau juga berkata banjir kilat yang kerap berlaku di ibu kota kerana hujan terlalu lebat dalam tempoh kurang enam jam menyebabkan sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran air di permukaan tinggi.

Semalam, beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat yang berterusan selama sekitar satu jam.

Antara laluan yang dikesan sesak dan mengalami peningkatan air adalah di Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, Jalan Sungai Besi, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Situasi itu mengakibatkan berlaku kesesakan teruk kerana berlaku di waktu puncak iaitu ketika orang ramai pulang dari tempat kerja.

Berita Harian X