Selasa, 26 April 2022 | 3:43pm
Bekas Finalis MasterChef Malaysia, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 34, bersama peguamnya, Datuk Seri Rakhbir Singh di luar Mahkamah Rayuan di Kota Kinabalu hari ini. - Foto ihsan Datuk Seri Rakhbir Singh
Bekas Finalis MasterChef Malaysia, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 34, bersama peguamnya, Datuk Seri Rakhbir Singh di luar Mahkamah Rayuan di Kota Kinabalu hari ini. - Foto ihsan Datuk Seri Rakhbir Singh

Mahkamah Rayuan benar ikat jamin bekas Finalis MasterChef Malaysia

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan jaminan seorang bekas Finalis MasterChef Malaysia yang dituduh membunuh pembantu rumahnya tahun lalu.

Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 34, mendapat jaminan itu selepas permohonannya didengar hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M Gunalan.

Peguam tertuduh, Datuk Seri Rakhbir Singh dan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebelum itu mengemukakan hujahan masing-masing mengenai permohonan berkenaan.

Dalam penghakiman itu, Mahkamah Rayuan membenar dan memerintahkan Etiqah dilepas dan dibebaskan atas jaminan dengan syarat membayar deposit RM30,000 bersama seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintah menyerahkan pasport dan semua dokumen perjalanannya di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selain perlu melapor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada jam 12 tengah hari, setiap Isnin.

Etiqah bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 40, yang juga seorang kontraktor berdepan dakwaan membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 Disember dan 13 Disember 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan jaminan bagi mendapatkan pelepasan melalui notis usul meminta mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Amelati Parnell yang mendengar permohonan tertuduh ketika itu menolak notis berkenaan dengan alasan tiada situasi luar biasa yang membolehkan pelepasan diberikan ke atas tertuduh.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 28 Disember lalu dan tidak dibenarkan ikat jamin memandangkan pertuduhan membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Berita Harian X