Selasa, 26 April 2022 | 2:14pm
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kanan) berkenan menyertai program World #QuranHour di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, hari ini. - Foto BERNAMA
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kanan) berkenan menyertai program World #QuranHour di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, hari ini. - Foto BERNAMA

Permaisuri berangkat ke World #QuranHour

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke program World #QuranHour di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merangkap pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacob dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

World #QuranHour kali ke-7 membawa misi Surah Al-Sajdah dengan tajuk 'Dunia Bersujud' diadakan serentak di seluruh dunia pada hari ini bersamaan 24 Ramadan 1443H bermula 12 hingga 1 tengah hari.

Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan pada kempen gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis sepanjang tahun ini.

Surah itu menjadi formula daripada llahi untuk meningkatkan rasa kehambaan kepada Allah dan panduan penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi dan Penyayang.

Program World #QuranHour dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah ayat satu hingga tujuh yang dibimbing oleh Qari Ustaz Mohamad Husain Mahmur.

Ia diikuti bacaan Surah Al-Sajdah secara bergilir oleh Qari Dr Anuar Hasin, Ustaz Abdul Khair Jalil, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Amirahman Abas dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Sementara itu, sesi tadabbur pula disampaikan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

WUIF berkolaborasi dengan rakan sinergi untuk menjayakan misi #QuranHour melalui tiga program utama iaitu World #QuranHour yang diadakan hari ini, Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dan World #QuranConvention dari 17 hingga 18 Disember.

Program itu dinaungi JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain itu, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Karangkraf Medicare Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara.

Antara yang hadir pada program World #QuranHour ialah Ketua Pengarah ITC, Datuk Dr Mohmed Razip Hassan, Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail. – BERNAMA

Berita Harian X