Selasa, 26 April 2022 | 12:32pm
Idris (kiri) melancarkan MQBM Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Auditorium JAKIM di sini, hari ini. - Foto NSTP/Samadi Ahmad.
Idris (kiri) melancarkan MQBM Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Auditorium JAKIM di sini, hari ini. - Foto NSTP/Samadi Ahmad.

MQBM bantu OKU cacat penglihatan dalami al-Quran

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjadikan Mashaf al-Quran Braille Malaysia (MQBM) sebagai rujukan utama dalam pengajian al-Quran di sekolah Pendidikan Khas di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Idris Ahmad, berkata pihaknya akan memaklumkan mengenai cadangan itu kepada Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, pertemuan dan perbincangan juga akan diadakan dengan KPM, khususnya Bahagian Pendidikan Khas dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan bagi membincangkan perkara itu dalam tempoh terdekat.

"Inisiatif ini dapat membantu orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan membaca dan bertadarus dengan lancar dan baik.

"Harapan kita adalah untuk melahirkan generasi muda Muslim OKU cacat penglihatan yang menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam hidup akan lebih mudah dicapai," katanya selepas majlis Pelancaran MQBM Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di sini, hari ini.

Sejarah penghasilan MQBM bermula pada 2012 susulan idea awal melalui kertas cadangan bagi menjalankan kajian mengenai pembangunan standard penulisan MQBM daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sepanjang tempoh 2013 hingga 2021, JAKIM sudah menganjurkan tujuh siri bengkel bagi menyiapkan MQBM dengan kerjasama USIM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) dan Pertubuhan dan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM).

Yang turut hadir, Yang Dipertua PERTIS, Mohd Faizal Che Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Idris berkata, penghasilan MQBM menjadi satu wadah bagi golongan terbabit untuk mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran al-Quran dengan lebih mudah dan terperinci.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN dan USIM yang turut membantu usaha itu sehingga terhasilnya Standard Penulisan Mashaf MQBM yang juga garis panduan rasmi kaedah penulisan al-Quran Braille di negara ini.

"Kesukaran berlaku sebelum ini kerana perbezaan penulisan al-Quran Braille versi lama tidak menepati Rasm Uthmani yang diguna pakai dalam al-Quran biasa di Malaysia, contohnya perbezaan pada penandaan waqaf dan peralihan juzuk.

"Perkara ini penting supaya pengguna dapat menguasai simbol-simbol baharu yang digunakan seterusnya dapat membaca dengan baik. Sebagai memperbanyakkan jumlah MQBM, pihak JAKIM disaran untuk menambah lebih banyak jumlah mesin cetak bagi meningkatkan jumlah pencetakan," katanya.

Berita Harian X