KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mempertahan tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin yang disifatkannya sebagai hanya memberi pandangan.
Mohd Zaid menerusi hantaran di Twitter hari ini berpendapat, pandangan dan kritikan Maria hanya berkait Mahkamah Syariah di Malaysia dan orang-orang di dalam sistemnya dan bukan agama Islam.
"Adakah cara Islam dengan menghantar pengkritik ke dalam penjara? Pandangan Maria Chin mengenai Mahkamah Syariah di Malaysia dan orang-orang dalam sistem itu. Ia buatan manusia. Bukan Islam.
"Setiap orang boleh memberi pandangan, tanpa perlu masuk ke penjara," katanya.
Hantaran beliau itu merujuk Maria Chin yang dipenjarakan tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina keputusan mahkamah, berhubung hukuman penjara terhadap bekas isteri seorang ahli perniagaan.
Is it Islamic to send your critique to jail? Maria Chin's opinion was about Malaysia Shariah court and the people in the system. Man made. Not Islam. Anyone can express an opinion without going to jail
— Zaid Ibrahim (@zaidibrahim) April 25, 2022
Hakim Syarie, Mohamed Fouzi Mokhtar, memutuskan hukuman itu selepas mendapati terdapat unsur menghina, merendah, memperlekeh serta memfitnah mahkamah dalam artikel diterbitkan Maria pada 5 September 2019, membabitkan Pengarah Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dan Emilia Hanafi.
Beliau berkata, tajuk digunakan Maria dalam artikel itu turut menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk, terhadap institusi Mahkamah Syariah pada mata awam.
Katanya, kenyataan Maria selaku responden bukan tergolong dalam komen yang adil, malah seolah-olah berniat memburukkan Mahkamah Syariah dengan menggunakan fakta kes tersasar dan tidak berkaitan.