Isnin, 25 April 2022 | 8:52pm

Menteri Besar arah siasat pemindahan 2,000 babi

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan khuatir pemindahan kira-kira 2,000 babi di 19 ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, ke negeri lain boleh menimbulkan masalah penyebaran dan jangkitan Demam Babi Afrika (ASF).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata beliau sudah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa berkenaan membuat siasatan berhubung kedudukan babi berkenaan.

Katanya, tindakan dan siasatan itu penting bagi menyekat sebarang penyebaran dan jangkitan ASF ke negeri lain.

"Saya dimaklumkan berlaku pengosongan di ladang berkenaan dan saya sudah minta Exco menyiasat perkara itu dan minta Jabatan Veterinar untuk membuat laporan polis, ke mana mereka pindahkan haiwan itu.

"Kita khuatir apabila babi itu dipindah ke negeri lain, akan menyebabkan masalah kepada negeri berkenaan.

"Mereka (penternak) tidak boleh memindahkan babi berkenaan sehingga pihak jabatan veterinar selesai membuat siasatan dan mengesahkan bahawa haiwan terbabit selamat daripada penyakit," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri 2022 kepada fakir dan miskin peringkat Labu, Nilai dan Mantin di Dewan Dato' Shahardin Labu di sini, petang tadi.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ismail Ahmad.

Aminuddin menyerahkan sumbangan wang kepada penduduk fakir dan miskin di Labu petang tadi. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Aminuddin menyerahkan sumbangan wang kepada penduduk fakir dan miskin di Labu petang tadi. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Pada majlis itu, sumbangan RM700 diberikan kepada fakir, RM500 bagi golongan miskin serta tambahan RM300 setiap seorang. Ia adalah bantuan daripada Menteri Besar DiPerbadankan (MBI) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang membabitkan seramai 321 penerima.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, mengesahkan kira-kira 2,000 babi di 19 ladang di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

Bakri berkata, tindakan itu dikesan selepas pasukan pemantau JPV negeri meninjau ladang terbabit dan mendapati ia kosong.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, tindakan pemilik ladang membawa keluar babi berkenaan tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan adalah tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Perkara ini kita serahkan kepada JPV negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya kerana pihak berkenaan ditugaskan untuk memastikan tiada pemindahan dan notis juga sudah diberikan kepada mereka (pemilik ladang).

"Tetapi apabila mereka melanggar peraturan perlu diambil suatu tindakan untuk memastikan perkara itu tidak berulang," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) tinjau ladang ternakan babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Port Disckson, baru-baru ini. - NSTP/Azrul Edham
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) tinjau ladang ternakan babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Port Disckson, baru-baru ini. - NSTP/Azrul Edham
Berita Harian X