Isnin, 25 April 2022 | 12:54pm

'Siasatan SPRM serangan terhadap badan kehakiman'

KUALA LUMPUR: Siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disifatkan bukan sahaja melanggar prinsip pengasingan kuasa malah serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM, Hassan Abdul Karim dalam kenyataan hari ini menegaskan beliau kesal dengan campur tangan SPRM yang dianggap mengganggu kebebasan badan kehakiman.

"Hakim-hakim mahkamah di Malaysia mesti dilindungi dari tindakan sewenang-wenang pihak eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

"Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Mohd Nazlan bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

"Tidak dinafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk jenayah rasuah.

"Tetapi ada kaedah khusus di mana tindakan sedemikian boleh dilakukan iaitu melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kes Tribunal Bebas berkaitan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas adalah satu contoh," katanya.

SPRM sebelum ini dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan manakala Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan secara rasmi.

Khamis lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai isu berkenaan.

Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk 'Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account' yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas.

Pendaftar Mahkamah Persekutuan juga menyifatkan tulisan itu berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan serta mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.

Selain itu Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, SPRM perlu sedar bahawa Mohd Nazlan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, justeru tidak boleh sesuka hati melakukan tindakan hanya berdasarkan satu laporan polis.

"Peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

"Sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan maka akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah," katanya.

Tambah beliau, kini wujud persepsi bahawa tindakan ke atas Mohd Nazlan berkait dengan keputusan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

"SPRM sewajarnya tidak terbabit dengan usaha balas dendam pihak tertentu terhadap Mohd Nazlan.

"SPRM perlu sedar terdapat usaha pihak tertentu yang tindak-tanduk boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan kehakiman apabila terdapat cubaan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib dengan tujuan keputusan kes itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan.

"Perlu diingatkan bahawa keputusan Mohd Nazlan dalam kes SRC International yang mensabitkan kesalahan Najib telah disahkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan," katanya.

Beliau turut menegaskan SPRM perlu sedar bahawa tugas JKMR adalah untuk memantau dan menasihati badan itu supaya menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan amanah, mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X