Ahad, 24 April 2022 | 11:07am

Rancangan wujud 'Khemah Besar' tindakan sia-sia, memakan diri

Rancangan mewujudkan 'Khemah Besar' dalam kalangan blok parti pembangkang kini hangat diperkatakan pemimpin utama parti pembangkang, terutama Pakatan Harapan (PH).

Setakat ini, matlamat mereka di bawah konsep 'Khemah Besar' ini hanya satu, iaitu untuk memastikan gabungan parti pembangkang lebih kukuh mampu diwujudkan bagi berdepan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Namun, walaupun belum diputuskan dengan jelas siapa dan parti mana akan menyertai 'Khemah Besar' itu nanti, sudah wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin utama PH dan blok pembangkang lain mengenai konsep gabungan itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam kenyataannya menjelaskan, konsep 'Khemah Besar' dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson adalah merujuk kepada kerjasama blok pembangkang tanpa membabitkan PN diterajui BERSATU.

Pendirian Anthony itu seiring pendapat Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, serta pemimpin PH lain, bahawa tidak timbul pun cadangan menarik penyertaan PN, apatah lagi PAS ke dalamnya.

Namun, nada disuarakan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub sedikit berbeza, yang melihat keperluan untuk membuka ruang perbincangan dengan PN, khususnya BERSATU.

Pendapat beliau itu bagi memastikan matlamat 'satu lawan satu' dengan BN pada PRU-15 akhirnya berjaya direalisasikan. Bagi Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula, konsep itu bukan keutamaan partinya khususnya dalam mendepani PRU Ke-15, bahkan menyatakan ia juga bukan formula boleh memberi jaminan kemenangan pembangkang pada PRU-15 nanti.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyatakan penolakan kepada konsep ini sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. PEJUANG hingga kini masih memilih jalan solo, biarpun sudah ada bibit perbincangan kerjasama politik akan dirintis membabitkan WARISAN, MUDA serta BERSATU.

Sementara dalam PKR pula, agenda mewujudkan 'Khemah Besar' turut mencetuskan banyak perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbinya sendiri.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli contohnya, tegas dengan pendirian, tidak menyambut baik konsep gabungan ini. Bagi Rafizi, usaha untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada PH khususnya PKR adalah dengan memulihkan persepsi dan sentimen negatif masih melingkari PH selama ini.

Ini termasuk mengenai isu janji populis serta krisis kepemimpinan dalam PH itu sendiri yang baginya belum diselesai sepenuhnya dan tuntas.

Justeru, usaha dan jalan untuk menggembleng konsep 'Khemah Besar' dalam kalangan pembangkang dilihat mencabar, terutama terkait penyertaan parti politik, selain PH.

Ketika tempoh PRU-15 pula semakin hampir, mahu atau tidak, mereka perlu memuktamadkan segera konsep ini, terutama dalam mencari titik persamaan dalam kalangan pemimpin utama blok pembangkang khususnya daripada WARISAN dan PEJUANG.

Kemudian, persoalan berbangkit pula, siapa akan mengemudi 'Khemah Besar' ini. Ini pasti menjadi perkiraan amat penting yang akan menentukan sejauh mana momentum gabungan pembangkang ini mampu memberi saingan kuat pada PRU akan datang.

Seterusnya, soal pengagihan kerusi antara PH dan parti lain, termasuk MUDA, yang pasti bukan jalan mudah untuk dimuktamadkan dalam situasi semasa.

Namun kini, ada dalam kalangan pemimpin pembangkang menyarankan supaya semua parti tidak bersama dengan BN turut membentuk 'Khemah Besar'. Ini termasuk yang pernah disuarakan Salahuddin dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.

Cadangan penggabungan ini antara lain berpaksi kepada keputusan tiga PRN, iaitu Melaka, Sarawak, disusuli Johor. Kewujudan PN sebagai blok politik baharu, dilihat lebih memberi kesan buruk kepada pola sokongan diterima PH berbanding BN.

Peralihan ketara sokongan pengundi PH kepada PN dalam tiga PRN itu menyukarkan PH untuk memperoleh undi selesa, memandangkan undi mereka kini sudah berpecah.

Namun, cadangan untuk menarik PN khususnya BERSATU ke dalam 'Khemah Besar' dilihat ramai pihak khususnya penganalisis politik sebagai jalan buntu dan sukar.

Sejarah BERSATU sebagai parti pernah bersama PH suatu ketika dahulu, kemudian berpaling tadah pada Februari 2020 sehingga PH tumbang sebagai kerajaan, menyukarkan sebarang usaha untuk merintis kerjasama mereka khususnya dengan PH.

Ditambah pula kemelut perpecahan dalam PKR sebelum ini yang antara lain berpunca daripada tindakan beberapa bekas pemimpin utamanya meninggalkan parti pada 2020, diikuti siri peralihan pemimpin cabang dan negeri yang kemudian menyertai BERSATU, masih sukar untuk dilupakan, apatah lagi untuk diterima ahli dan penyokong PKR sendiri.

Penganalisis politik yang juga saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat menganggap penyertaan PN dalam 'Khemah Besar' dilihat usaha tidak realistik, malah boleh menghakis kepercayaan dalam kalangan penyokong PH itu sendiri.

Beliau menyifatkan cadangan penggabungan dengan PN boleh mengakibatkan penyokong PH memilih untuk tidak mengundi pada PRU akan datang, apatah lagi selepas berasakan seolah-olah ditipu pemimpin dan parti yang mereka pernah pilih sebelum ini.

Maka, jalan kepada PN khususnya BERSATU untuk cuba mendekati gabungan 'Khemah Besar' hingga kini masih samar, apatah lagi sekutunya, PAS juga menyatakan pendirian tegas untuk tidak mahu bekerjasama dengan PH pada PRU akan datang.

Pendirian PAS ini, sekali gus memberi mesej besar kepada PN khususnya pemimpin BERSATU. Jika usaha dirintis pemimpin tertentu dalam PN untuk membawa sebahagian parti dalam gabungan itu ke dalam 'Khemah Besar', maka PN akan berdepan krisis dalaman, yang memungkinkan PAS menarik diri daripada PN dan membentuk bloknya sendiri bagi berdepan PRU kelak.

Mungkin juga PAS akan meneruskan kerjasamanya dengan UMNO di bawah payung Muafakat Nasional (MN), yang sehingga kini masih wujud dan bertahan.

Justeru, cadangan mewujudkan 'Khemah Besar' dalam kalangan pembangkang ketika ini hanya mencetuskan polemik baharu yang tidak berkesudahan, malah boleh mengundang krisis dan pertikaian berterusan antara PH, MUDA, WARISAN, PEJUANG serta PN.

Kegagalan mereka mencari titik persamaan, memuktamadkan struktur penerajunya, memberi gambaran jelas kepada rakyat gabungan seumpama ini rapuh dan sukar untuk diyakini.

Ketika rakyat mengharapkan pemimpin dan parti politik untuk mencari penyelesaian terhadap masalah dalam negara seperti kemelut ekonomi, isu pengangguran, jaminan peluang pekerjaan lebih meluas, kawalan kos sara hidup dan harga barang kian meningkat serta kestabilan politik, langkah untuk membuat percaturan politik sebegini boleh disifatkan sebagai tindakan sia-sia dan memakan diri. Malah, ia mungkin akan memberi kelebihan pula kepada BN pada PRU-15 nanti.

Berita Harian X