Jumaat, 22 April 2022 | 6:55pm
Foto hiasan - Fail NSTP
Foto hiasan - Fail NSTP

Dos penggalak kedua bagi warga emas berisiko tinggi

KUALA LUMPUR: Pemberian dos penggalak kedua vaksin COVID-19 keluaran Pfizer, akan dikhususkan kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang dikategorikan berisiko tinggi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata warga emas itu dikategorikan berisiko tinggi berdasarkan sembilan kategori iaitu menghidap penyakit pernafasan kronik, penyakit jantung dan vaskular kronik, penyakit buah pinggang kronik serta penyakit hati kronik.

Selain itu, penyakit neurologi kronik, kencing manis dan gangguan endokrin lain, asplenia atau gangguan fungsi limpa, warga emas yang memiliki indeks jisim tubuh (BMI) di bawah 40kg/m2 dan penghidap penyakit mental yang teruk.

"Kriteria kelayakan bagi penerima dos penggalak kedua adalah individu berumur 60 tahun dan ke atas, serta telah menerima dos penggalak pertama sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan yang lalu.

"Bagi individu yang lengkap mengambil dos penggalak pertama dan mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua selepas selang masa tiga bulan pulih sepenuhnya.

"Individu berumur 60 tahun dan ke atas yang sihat perlu berbincang dengan pengamal perubatan untuk pertimbangan jika ingin mengambil dos penggalak kedua," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, empat kaedah pemberian vaksin ditetapkan untuk dos penggalak kedua warga emas itu, antaranya janji temu menerusi MySejahtera kepada individu yang memenuhi kriteria dengan pautan tempahan diberikan secara berperingkat bermula hari ini.

Selain itu, katanya, warga emas berkenaan yang menerima rawatan di hospital kerajaan atau swasta yang beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV), boleh diberi dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan berkenaan.

"Bagi hospital kerajaan atau swasta yang tidak beroperasi sebagai PPV, pakar yang merawat perlu melaksanakan Penilaian Pra Vaksinasi (PVA) dan merujuk pesakit ke hospital kerajaan atau swasta berhampiran yang beroperasi sebagai PPV," katanya.

Selain dua kaedah itu, katanya, warga emas yang memenuhi kriteria boleh hadir terus ke PPV secara walk-in, manakala pusat jagaan warga emas boleh membuat permohonan bagi mendapatkan dos penggalak kedua menerusi pejabat kesihatan daerah berhampiran.

Pada masa sama, Khairy turut mengumumkan pemberian dos tambahan vaksin COVID-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang memiliki sistem imun defektif atau terimunokompromi kategori sederhana atau teruk yang disahkan pakar perubatan.

Katanya, remaja berkenaan boleh menerima dos tambahan sekurang-kurangnya 28 hari selepas menerima dos terakhir siri primer, manakala individu yang sudah melengkapkan dos primer dan dijangkiti COVID-19, layak menerima dos tambahan selepas tiga bulan pulih sepenuhnya.

Jelasnya, dos tambahan boleh diberikan secara terus kepada remaja yang layak jika mereka sedang dalam rawatan di hospital kerajaan atau swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta dan klinik kesihatan dengan pakar yang menjadi PPV.

"Bagi fasiliti kesihatan yang tidak beroperasi sebagai PPV, pakar yang merawat perlu melaksanakan PVA sebelum merujuk ke hospital kerajaan atau swasta, klinik pakar kanak-kanak swasta atau klinik kesihatan dengan pakar yang beroperasi sebagai PPV.

"Remaja yang layak tetapi tidak ditawarkan dos tambahan pula boleh dibawa berjumpa pakar perubatan yang merawat untuk menjalani PVA dan seterusnya dirujuk ke fasiliti berkenaan yang beroperasi sebagai PPV," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan individu berusia 18 tahun dan ke atas yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas selang masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama bagi memenuhi syarat keperluan memasuki negara destinasi.

"Mereka boleh hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di PPV yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti tiket penerbangan atau dokumen perjalanan," katanya.

Berita Harian X