Jumaat, 22 April 2022 | 6:20pm
Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Institut Endokrin fasiliti terbaharu KKM

PUTRAJAYA: Pembukaan fasiliti kesihatan baharu, Institut Endokrin di Hospital Putrajaya, kelak diharap dapat memberikan keselesaan bukan sahaja kepada rakyat untuk mendapatkan akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kesihatan awam, malah juga kepada kakitangan kesihatan yang bertugas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata idea penubuhan Institut Endokrin Hospital Putrajaya, diilhamkan menteri sebelum ini, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dengan penggerak utamanya adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Unit Endokrin di Hospital Putrajaya mula beroperasi sejak 2002, dan ia menjadi pusat rujukan peringkat ketiga yang turut menawarkan perkhidmatan pembedahan endokrin bagi pesakit endokrin dewasa dan kanak-kanak dari seluruh negara.

Katanya, unit sedemikian kemudian diperluaskan dengan penubuhan pusat rujukan endokrin di hospital-hospital negeri seperti di Pulau Pinang pada 2003, Sarawak (2004) dan Sabah (2006) manakala lawatan pakar perubatan endokrin juga dimulakan di negeri lain sehingga ke hari ini.

"Keperluan dan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan rawatan di Unit Endokrin Hospital Putrajaya dan di seluruh negara menyumbang kepada idea penubuhan Institut Endokrin Hospital Putrajaya.

"Keputusan kerajaan untuk membina Institut Endokrin ini adalah selaras dengan tekad kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan khusus di bawah perkhidmatan perubatan endokrinologi di Malaysia," katanya pada Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Khairy turut menyatakan penghargaannya kepada Dr S Subramaniam yang berperanan besar terhadap pembinaan Institut Endokrin itu yang mula dibina pada 2017.

"Saya juga ingin rakam penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri Kesihatan ketika itu yang mengilhamkan projek ini sehingga hari ini dapat kita melihat rancangan beliau menjadi realiti.

"Masalah menjadi menteri ini, projek pembangunan siap lama selepas mereka sudah tiada. Jadi elok kita beri penghargaan kepada menteri yang mencetuskan idea ini," katanya.

Apabila beroperasi kelak, Institut Endokrin itu yang menerima sijil perakuan siap kerja (CPC) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 8 April lalu, akan menempatkan satu blok bangunan hospital 10 tingkat dengan kapasiti 220 katil dan sebuah bangunan tempat letak kereta lima tingkat untuk keselesaan dan kemudahan pesakit.

Institut endokrin pertama seumpamanya di Malaysia itu akan menempatkan tiga wad pesakit iaitu Wad Perubatan Endokrin, Wad Pembedahan Endokrin dan Wad Pediatrik Endokrin; sebuah bilik bedah pintar hibrid, sebuah bilik bedah endoskopik dan tiga bilik pembedahan am.

Projek dengan kos keseluruhan RM348 juta itu turut dilengkapi gelanggang serbaguna di aras enam.

Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited untuk memberikan tumpuan khusus dalam memastikan penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada rakyat negara ini.

"KKM juga sangat mengalu-alukan semua fasiliti baharu daripada JKR. Ketika ini, KKM mahu memberi tumpuan kepada semua kes bukan COVID-19 yang tertunggak yang tidak dapat diberi perhatian berikutan hospital kita terpaksa menguruskan pesakit COVID-19.

"Inilah masa untuk kita manfaatkan fasiliti yang diserahkan oleh kontraktor dan JKR untuk kita perhebatkan lagi perkhidmatan kesihatan awam supaya kita dapat mewujudkan sebuah negara sejahtera dengan sistem kesihatan awam yang bertaraf dunia," katanya.

Berita Harian X