Jumaat, 22 April 2022 | 5:06pm

Lebih banyak kelonggaran SOP akan diumum

PUTRAJAYA: Lebih banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai sejak negara dilanda COVID-19 dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.

Difahamkan, antara lain ia membabitkan kelonggaran terhadap arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat awam yang dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2020.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata berikutan kejayaan pengurusan COVID-19 dalam negara yang kini menyaksikan jangkitan semakin terkawal selain penurunan kes kemasukan ke hospital, Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka mengumumkan sedikit kelonggaran dari semasa ke semasa.

"KKM akan mengumumkan sedikit kelonggaran untuk kita kembali hampir seperti normal tetapi biarlah kita lambat sedikit asal kita selamat," katanya pada Majlis Penyerahan Institut Endokrin Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Terdahulu ketika ditemui pemberita di program berasingan, Khairy ketika ditanya mengenai kelonggaran membabitkan penggunaan pelitup muka, meminta media menunggu hingga minggu depan.

Orang awam kekal memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ketika negara dalam Fasa Peralihan Ke Endemik. - NSTP/Aziah Azmee
Orang awam kekal memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ketika negara dalam Fasa Peralihan Ke Endemik. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X