Jumaat, 22 April 2022 | 12:05pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto NSTP
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. - Foto NSTP

MyEMC perkenal inisiatif penjenamaan tunggal

SELAYANG: Syarikat Pengurusan Pengeksportan Malaysia (MyEMC) memperkenalkan inisiatif penjenamaan tunggal dalam usaha memangkin dan merancakkan pengeksportan produk agromakanan ke pasaran antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata inisiatif itu diperkenal selepas penerokaan pasaran antarabangsa dikonsolidasikan melalui pengukuhan peranan syarikat Malaysia sebagai EMC di luar negara.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah kerjasama strategik awam-swasta dengan pembabitan pemain industri berkaitan terdiri pengeluar dan pengeksport serta pengimport dan pemasar di luar negara.

"Ia bertujuan mengatasi permasalahan penembusan pasaran, pemasaran dan promosi produk agromakanan di sesebuah negara pengimport.

"Kolaborasi strategik awam-swasta adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh jenama produk tempatan bagi memastikan lebih banyak produk agromakanan keluaran tempatan menembusi pasaran Jepun," katanya pada sidang media acara pelepasan Pengeksportan Produk AgroMakanan ke Jepun di sini, hari ini.

Terdahulu, Ronald turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SD Impex Japan Co Ltd dengan usahawan agromakanan Malaysia bagi kerjasama pemasaran dan promosi Produk Agromakanan ke Jepun.

Ronald berkata, kerjasama strategik bersama SD Impex Japan Co Ltd sebagai EMC berjaya meningkatkan jumlah tempahan eksport produk agromakanan sebanyak 992 karton membabitkan 36 unit penyimpanan stok (SKU).

Katanya, ia terdiri lebih 50,000 unit produk sedia dimakan (RTE), sedia diminum (RTD) dan sedia dimasak (RTC) keluaran 13 syarikat pengeluar dan usahawan seluruh negara yang diletakkan di bawah jenama tunggal MyKitchen.

"Ia secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan nilai perdagangan agromakanan antara Malaysia dan Jepun tahun ini berbanding AS$1.21billion (RM5.18bilion) dicatatkan pada 2021, seterusnya menyumbang kepada trend pemulihan dan akses pasaran luar negara kepada produk jenama Malaysia.

"Mengambil kira kelangsungan permintaan bagi sesetengah produk tempatan di Jepun, kementerian komited memastikan kolaborasi bersama syarikat atau usahawan sebagai EMC adalah berkeupayaan untuk memperkenal dan memperkukuh jenama produk tempatan di pasaran Jepun.

"EMC juga bertanggungjawab untuk sentiasa menambah baik tahap kebolehpasaran produk tempatan mengikut kehendak pasaran semasa di Jepun, selain turut membantu dalam merancang gerak kerja pengeksportan dalam kalangan usahawan terpilih," katanya.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, sebanyak 70 SKU produk agromakanan terpilih membabitkan pelbagai syarikat pengeluar dan usahawan dibawah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dipromosi dan dipasarkan di Jepun, sehingga April lalu.

Beliau berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding hanya 12 SKU ketika inisiatif berkenaan mula diperkenalkan pada 2020.

"Penghantaran (produk agromakanan) kali ini adalah termasuklah produk Stingless Bee Honey Coffee, hasil kerjasama strategik antara usahawan dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah inisiatif Smart Community program.

"Keseluruhannya, sesi pelepasan Pengeksportan Produk Agromakanan ini akan menjadi mercu tanda kejayaan Malaysia untuk terus meneroka dan menembusi pasaran Jepun, seterusnya melengkapkan visi kementerian selaku peneraju sektor pertanian dalam usaha menjadikan Malaysia lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia.

"Ia sekali gus menjadikan sektor pertanian dan agromakanan sebagai antara jentera utama kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Berita Harian X