Khamis, 21 April 2022 | 6:03pm
Orang awam berurusan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di Menara TH, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Orang awam berurusan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di Menara TH, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
14,306 kuota haji untuk jemaah Malaysia
14,306 kuota haji untuk jemaah Malaysia

'Keutamaan kuota haji 2022 untuk jemaah tertangguh pada 2020' - TH

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberi keutamaan kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada tahun 2020, diikuti 2021 serta seterusnya, berdasarkan sistem pendaftaran berasaskan prinsip sebelum ini dalam memenuhi kuota jemaah yang diterima tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata pihaknya sudah memulakan persiapan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji tahun ini, sama ada di tanah air mahu pun di Tanah Suci.

"Kuota haji ditetapkan Kerajaan Arab Saudi sebelum ini adalah 0.1 peratus dari jumlah penduduk negara. Pada tahun 2019, kuota haji Malaysia adalah 31,600 orang.

"Namun pada tahun ini ibadat haji hanya dibenarkan untuk 1 juta jemaah sahaja mengambil kira kriteria penjagaan kesihatan, berbanding sekitar 2.5 juta jemaah pada tahun 2019," katanya mengulas pengumuman kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah seramai 14,306 orang iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima negara.

Mengulas lanjut, Amrin berkata, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI juga dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram.

"TH ingin menasihatkan bakal jemaah supaya bersedia dengan dokumen berkenaan termasuk sijil vaksinasi COVID-19 yang lengkap dan pasport antarabangsa.

"TH akan membuat pengumuman daripada masa ke semasa sekiranya ada maklumat lanjut dari Kerajaan Arab Saudi yang perlu dikongsikan dengan bakal jemaah," katanya sambil melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota yang diagihkan itu.

14,306 kuota haji untuk jemaah Malaysia
14,306 kuota haji untuk jemaah Malaysia

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berharap pemilihan tawaran dapat diberikan kepada jemaah haji yang sememangnya layak dan tiada pilih kasih dalam pelaksanaan itu.

Katanya, TH diharap menjalankan proses yang telus untuk pemilihan jemaah haji memandangkan tahun ini adalah tahun pertama selepas COVID-19 melanda dunia kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadah Haji.

"Kita berterima kasih kepada Arab Saudi yang menetapkan kuota haji sama rata untuk semua negara seluruh dunia. Dalam masa sama, PAPUH berharap TH melaksanakan tawaran kepada mereka yang benar-benar layak memandangkan hampir 100,000 bakal jemaah sepatutnya berpeluang menunaikan haji selama hampir tiga tahun ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu, berharap jemaah terpilih ke Tanah Suci memanfaatkan peluang beribadat sebaik mungkin demi mendapatkan haji yang mabrur.

Berita Harian X