Khamis, 21 April 2022 | 2:26pm

Tertuduh kes bunuh, tidur seminggu dengan mayat diarah bela diri

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini memerintahkan seorang lelaki membela diri atas tuduhan melakukan pembunuhan dan tidur bersama mayat rakan selama seminggu empat tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Azhud Ibrahim, 32 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seterusnya memerintahkan agar tertuduh membela diri.

Mahkamah menetapkan 9 Jun hadapan bagi tertuduh untuk membela diri dalam perbicaraan yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan dan tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

"Berdasarkan kepada pemerhatian iaitu dengan memberi pertimbangan kepada keterangan daripada pihak pendakwaan, pembelaan dan juga dari tertuduh, pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap OKT (Orang Kena Tuduh) seperti mana kertas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu OKT dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan tersebut," katanya ketika membaca keputusan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Ahmad Azam Ahmad dengan cara memukul menggunakan sebatang buluh dan sebatang tebu serta memijak sehingga mengakibatkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di alamat No 2A Lorong Mohd Ali Kampung Bahagia, Teluk Intan pada jam kira-kira 12.10 malam hingga 8 pagi pada 10 Ogos 2018.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hendaklah disiksa dengan bunuh, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin mewakili pihak pendakwaan.

Seorang lelaki yang dituduh lakukan pembunuhan dan tidur bersama mayat rakan selama seminggu empat tahun lalu diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Seorang lelaki yang dituduh lakukan pembunuhan dan tidur bersama mayat rakan selama seminggu empat tahun lalu diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X