Khamis, 21 April 2022 | 11:23am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Surau, masjid disaran baca Qunut Nazilah mulai malam ini

PUTRAJAYA: Masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan disaran melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah ketika solat Subuh, solat Jumaat dan solat sunat witir Tarawih sepanjang Ramadan bermula malam ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, Qunut Nazilah ini bertujuan mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin khususnya dan di Malaysia amnya.

Katanya, ia susulan saranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk melaksanakan bacaan Qunut Nazilah berikutan tragedi pencerobohan yang berterusan ke atas Masjid Al- Aqsa.

"Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di bulan Ramadan yang mulia adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Bermula semalam, tiga masjid utama membabitkan Masjid Negara di Kuala Lumpur dan Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah ketika solat sunat witir setiap malam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan ia adalah inisiatif jabatan itu khusus untuk keselamatan dan keamanan di bumi Palestin.

Berita Harian X