Rabu, 20 April 2022 | 1:03pm

Inisiatif 3.1.2 tak konsisten piawaian antarabangsa

KUALA LUMPUR: Inisiatif surat akuan menolak elemen rasuah 'Integrity Pact' dalam pembidaan tender kerajaan seperti dicadangkan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, perlu dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

Mengutarakan pendirian itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan, berkata ia membabitkan badan-badan tertentu yang menjadi pemegang taruh kepada isu integriti untuk mengelakkan konflik kepentingan serta rasuah.

Beliau berkata, TI-M melihat inisiatif 3.1.2 berkaitan surat akuan menolak elemen rasuah 'Integrity Pact' dalam pembidaan tender kerajaan seperti dicadangkan dalam NACP 2019-2023 dilaksanakan tanpa mengikut cadangan yang sudah disyorkan serta tidak konsisten dengan piawaian antarabangsa.

"Apabila meneliti surat pekeliling yang diterima, kami dapati ia tidak diterjemahkan mengikut hasil sesi perbincangan yang sudah ditetapkan. Garis Panduan Pelaksanaan Integriti Pact Dalam Perolehan Kerajaan dilihat tidak mencapai piawaian antarabangsa seperti dicadangkan.

"Ini kerana antara lain tiada pihak ketiga untuk memantau projek besar, tidak seperti yang dicadangkan TI-M berdasarkan piawaian antarabangsa.

"Mengikut piawaian antarabangsa yang standard, pihak ketiga memantau dari mula tender dikeluarkan kepada syarikat hingga projek berkenaan siap.

"Ia adalah model yang dicadangkan dalam inisiatif ini, tetapi sebaliknya apa yang ada hanya penambahan dari segi dokumentasi dan keperluan untuk menandatangani aku janji," katanya kepada BH, semalam.

BH semalam melaporkan, syarikat membida tender atau memohon dana kerajaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kewangan (MOF), wajib melalui saringan integriti serta menandatangani surat akuan menolak elemen rasuah bermula 1 Jun ini.

Pelaksanaan langkah itu adalah antara 111 inisiatif yang termaktub di bawah NACP 2019-2023 untuk meningkatkan integriti, memerangi amalan rasuah serta mengelak sebarang isu berkaitan konflik kepentingan.

Surat Akuan Integrity Pact akan dikuatkuasakan oleh SPRM mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sebelum ini, SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah antara dua daripada 27 agensi peneraju di bawah NACP 2019-2023 yang belum lagi menyelesaikan inisiatif yang ditetapkan dalam Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP 2019-2023.

SPRM memaklumkan, satu daripada 11 inisiatif NACP 2019-2023 dianggap selesai adalah inisiatif 3.1.2 dari segi membuat semakan terhadap 'Integrity Pact' sedia ada supaya seiring dengan piawaian antarabangsa, sistem dan prosedur yang berkuat kuasa bagi menangani isu konflik kepentingan.

Dr Muhammad Mohan berkata, antara inisiatif lain yang tertangguh dan perlu diberi perhatian serius adalah Akta Sumbangan Dana Politik.

"Ia sudah pun tertangguh dua tahun dan harus dicapai pada Disember 2022. Akta ini amat penting untuk menghentikan isu politik wang yang sering kali timbul waktu pilihan raya dan memerlukan kehendak politik daripada pemerintah dan juga daripada pembangkang.

"Bagaimanapun sampai hari ini, tiada sebarang maklumat bila rang undang-undang ini akan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya

Katanya lagi, TI-M memahami pandemik COVID-19 merencatkan pelaksanaan NACP 2019-2023 dan baki kurang dua tahun terakhir perlu diambil kesempatan oleh kerajaan untuk mengukuhkan semula pelaksanaan pelan berkenaan.

"Sebenarnya kita agak sedih dan kecewa apabila melihat hanya 33 peratus sahaja pelan ini tercapai selepas ia bermula dengan momentum yang sangat bagus. Kita terfikir bagaimana mahu menyudahkan baki sebanyak 70 peratus lagi inisiatif yang belum selesai.

"Namun saya percaya sekiranya ada tindakan, ia mampu diselesaikan. Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah GIACC, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, mungkin ada inisiatif yang mempunyai kekangan dari segi perundangan dan Perlembagaan tidak mampu diselesaikan pada hujung tahun depan," katanya.

Berita Harian X