Selasa, 19 April 2022 | 5:06pm

Noh jumpa SME Corp, MIDF esok

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) esok.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pertemuan itu diadakan bagi mendapatkan penjelasan punca kegagalan dua agensi menunaikan janji berkaitan pemberian pinjaman melalui Bantuan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, terdapat 200 PKS yang terkesan memohon bantuan pinjaman tanpa faedah membabitkan peruntukan RM100 juta dan ia sudah diluluskan namun sehingga kini tidak ada seorang yang sudah menerima bayaran.

"Saya lihat memang agak perlahan, perkara ini yang sepatutnya membantu usahawan dalam keadaan kecemasan, nama pun peruntukan untuk kecemasan (dan) bila kecemasan kita tidak boleh mengikut normal prosedur.

"Ini sudah banyak kali saya tekankan dan sudah beri arahan tolong permudahkan urusan dan bila saya dapat syarat ditetapkan MIDF ini saya tengok sama dengan syarat permohonan biasa walaupun saya sudah beri arahan supaya permudahkan urusan pada pertemuan akhir bulan lalu.

"Janji mahu selesaikan cepat (iaitu) dua minggu tapi ini sudah tiga minggu belum selesai lagi, jadi saya akan jumpa dua-dua ini balik esok," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Untuk rekod, SMEEF 2.0 memberikan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM100,000 dengan tempoh bayaran balik selama lima tahun dan diberikan moratorium setahun membabitkan peruntukan RM100 juta.

Noh berkata, beliau sudah mengarahkan SME Corp dan MIDF supaya mempermudahkan urusan dengan melonggarkan syarat pinjaman bantuan dalam pertemuan pada akhir bulan lalu namun kesal apabila permintaan itu tidak diendahkan.

Katanya, kelulusan permohonan SMEEF 2.0 diuruskan oleh SME Corp manakala MIDF bertanggungjawab menguruskan bayaran kepada PKS.

"Saya mahu dua agensi berkenaan mempercepatkan bayaran supaya sektor PKS negara dapat dihidupkan semula," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, bayaran bantuan banjir di bawah inisiatif Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) kepada kepada usahawan informal dan mikro yang layak di seluruh negara akan diselesaikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, sebahagian besar bayaran sebanyak RM3,000 kepada 16,051 permohonan BBKM sudah dibayar dan baki seramai 1,300 penerima akan dijelaskan dalam masa terdekat.

"Di Terengganu, seramai 962 usahawan informal dan mikro yang mana premis perniagaan mereka terjejas banjir menerima bantuan ini," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) bergambar bersama penerima Geran Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia pada majlis penyerahan di Taman Tamadun Islam hari ini. - Foto GHAZALI KORI
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) bergambar bersama penerima Geran Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia pada majlis penyerahan di Taman Tamadun Islam hari ini. - Foto GHAZALI KORI
Berita Harian X