Selasa, 19 April 2022 | 11:01am
Syarikat yang membida tender atau memohon dana kerajaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kewangan (MOF), wajib melalui saringan integriti serta menandatangani surat akuan menolak elemen rasuah bermula 1 Jun ini. - Foto hiasan NSTP
Syarikat yang membida tender atau memohon dana kerajaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kewangan (MOF), wajib melalui saringan integriti serta menandatangani surat akuan menolak elemen rasuah bermula 1 Jun ini. - Foto hiasan NSTP

Wajib tandatangan surat akuan tolak rasuah

KUALA LUMPUR: Syarikat yang membida tender atau memohon dana kerajaan yang dikeluarkan menerusi Kementerian Kewangan (MOF), wajib melalui saringan integriti serta menandatangani surat akuan menolak elemen rasuah bermula 1 Jun ini.

Pelaksanaan langkah itu adalah antara 111 inisiatif yang termaktub di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, untuk meningkatkan integriti, memerangi amalam rasuah serta mengelak sebarang isu berkaitan konflik kepentingan.

Surat Akuan Integrity Pact ini akan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sebelum ini, SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah antara dua daripada 27 agensi peneraju di bawah NACP 2019-2023 yang belum lagi menyelesaikan inisiatif yang ditetapkan dalam Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP 2019-2023.

SPRM dalam kenyataannya kepada BH, menegaskan suruhanjaya itu komited memastikan matlamat NACP 2019-2023 tercapai dan ia dibuktikan melalui laporan tahun pelan antirasuah di bawah agensi terbabit supaya mencapai matlamat yang ditetapkan.

"Satu daripada 11 inisiatif NACP 2019-2023 dianggap selesai iaitu inisiatif 3.1.2 iaitu membuat semakan terhadap Integrity Pact sedia ada supaya seiring dengan piawaian antarabangsa serta sistem dan prosedur yang berkuat kuasa bagi menangani isu-isu konflik kepentingan.

"Inisiatif ini akan dikuat kuasa dalam pekeliling Integriti Dalam Perolehan Kerajaan mulai 1 Jun ini," kata kenyataan itu, semalam.

Selain itu, sebelum dianugerah dan membida sebarang projek kerajaan, syarikat yang memohon terlebih dahulu perlu menandatangani Surat Akuan Integrity Pact, ketika mendaftar dengan MOF dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Syarikat pembida atau pemohon dana, pegawai awam dan ahli jawatankuasa berkaitan sesuatu perolehan serta pihak yang meluluskannya, juga perlu menandatangani surat akuan sama.

Difahamkan, syarikat atau firma yang ada dalam kalangan ahli lembaga pengarah serta pengurusannya yang berdepan tuduhan jenayah dan rasuah, juga tidak boleh menyertai atau menerima sebarang tawaran projek yang akan datang.

Surat Akuan Integrity Pact itu adalah proses pengisytiharan kendiri untuk tidak menawar atau memberi rasuah sebagai dorongan mendapatkan sesuatu kontrak atau bagi mempercepatkan sesuatu urusan perolehan kerajaan.

Objektif utama pelaksanaan Integrity Pact adalah untuk mengelakkan percanggahan kepentingan serta mencegah amalan rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan serta mengekang penyalahgunaan kuasa.

Syarikat dan pegawai awam akan menandatangani satu akuan atau perjanjian untuk tidak melakukan perbuatan rasuah dalam urusan perolehan atau pelaksanaan sesuatu kontrak atau tindakan boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran.

BH pada Sabtu lalu melaporkan, hanya tinggal setahun lebih lagi untuk tempoh akhir pelaksanaan NACP 2019-2023 namun ia berdepan berkemungkinan tidak tercapai dalam masa ditetapkan kerana setakat ini hanya 37 atau kira-kira 32 peratus daripada 111 inisiatif ditetapkan berjaya diselesaikan.

Hampir 70 peratus atau 74 inisiatif lagi masih dikategorikan 'dalam tindakan' biarpun tarikh akhir pelan untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara bebas rasuah dan berintegriti tinggi semakin hampir iaitu akhir tahun depan.

Menurut Laporan Kemajuan NACP 2019-2023 yang dimuat naik di laman web Parlimen, baru-baru ini, didapati hanya sembilan peratus atau tiga daripada 33 inisiatif jangka pendek berjaya dilaksanakan setakat ini, manakala 10 peratus atau lima daripada 49 inisiatif jangka sederhana selesai.

NACP 2019-2023 dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pada 2019 dan pada tahun pertama berjaya menyelesaikan 29 inisiatif, namun pencapaian selepas itu menjadi semakin perlahan dengan hanya lapan inisiatif diselesaikan sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Kelewatan pencapaian NACP 2019-2023 turut diakui Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Bagaimanapun, beliau yakin sebahagian besar daripada baki 74 inisiatif yang masih dikategorikan 'dalam tindakan' dapat disiapkan menjelang akhir 2023, walaupun tidak menolak kemungkinan ada beberapa perkara yang akan dilanjutkan.

Berita Harian X