Isnin, 18 April 2022 | 5:59pm

PAS tolak kerjasama dengan PH, pembangkang lain

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan jalin sebarang kerjasama politik dengan parti pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) menerusi pendekatan 'khemah besar' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS konsisten dengan pendirian mendukung dan memperkuatkan kerajaan yang diterajui bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR.

"PAS amat yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kolaborasi parti utama di negara ini berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan Bumiputera adalah formula paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

"PAS juga melalui pendekatan Politik Matang dan Sejahtera sentiasa komited serta sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU-15," katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin menegaskan, apa yang penting dalam era pasca pandemik adalah mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata partinya menghormati perbezaan pandangan mengenai pendekatan khemah besar dalam parti pembangkang bagi menghadapi PRU-15.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pendekatan itu tidak akan merangkumi parti dalam kerajaan iaitu UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Berita Harian X