Isnin, 18 April 2022 | 3:48pm
Hanya sembilan peratus atau tiga daripada 33 inisiatif jangka pendek berjaya dilaksanakan setakat ini manakala 10 peratus atau lima daripada 49 inisiatif jangka sederhana selesai.
Hanya sembilan peratus atau tiga daripada 33 inisiatif jangka pendek berjaya dilaksanakan setakat ini manakala 10 peratus atau lima daripada 49 inisiatif jangka sederhana selesai.

Hanya 33 peratus inisiatif pelan antirasuah dicapai

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal setahun lebih lagi untuk tempoh akhir pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2019-2023), namun berdepan berkemungkinan tidak tercapai dalam masa ditetapkan kerana setakat ini hanya 37 atau kira-kira 33 peratus daripada 111 inisiatif ditetapkan berjaya diselesaikan.

Hampir 70 peratus atau 74 inisiatif lagi masih dikategorikan 'dalam tindakan' biarpun tarikh akhir pelan untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara bebas rasuah dan berintegriti tinggi semakin hampir iaitu akhir tahun depan.

Menurut Laporan Kemajuan NACP 2019-2023 yang dimuat naik di laman web Parlimen baru-baru ini, didapati hanya sembilan peratus atau tiga daripada 33 inisiatif jangka pendek berjaya dilaksanakan setakat ini manakala 10 peratus atau lima daripada 49 inisiatif jangka sederhana selesai.

NACP 2019-2023 dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pada 2019 dan pada tahun pertama berjaya menyelesaikan 29 inisiatif, namun pencapaian selepas itu menjadi semakin perlahan dengan hanya lapan inisiatif diselesaikan sepanjang tahun 2020 dan 2021.

NACP adalah dokumen kerajaan yang menggariskan tindakan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh. Ia dirangka dengan didasari oleh penilaian risiko rasuah yang dianalisa menggunakan data-data daripada pelbagai sumber.

Pelan ini juga bertindak sebagai panduan dalam pelaksanaan mekanisme antirasuah yang menggemblengkan usaha dan komitmen ke arah negara yang bersih dan dihormati.

Pada mulanya sebanyak 115 inisiatif di bawah enam bidang keutamaan digariskan di bawah NACP iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat.

Namun, menerusi Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP menjadikan jumlah keseluruhan yang dipantau dan dinilai adalah 111 inisiatif selepas beberapa inisiatif digabungkan.

BH difahamkan, antara punca pelan yang dianggap sebagai 'dokumen hidup' ini menjadi 'semakin perlahan' pelaksanaannya dan mungkin tidak menepati tarikh akhir adalah kerana berlakunya pertukaran kepimpinan kerajaan beberapa kali sejak 2020.

Selain itu, pandemik COVID-19 sejak 2020 turut merencatkan pelaksanaan NACP, khususnya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kelewatan pencapaian NACP 2019-2023 turut diakui Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Bagaimanapun, beliau yakin sebahagian besar daripada baki 74 inisiatif yang masih dikategorikan 'dalam tindakan' dapat disiapkan menjelang akhir 2023, walaupun tidak menolak kemungkinan ada beberapa perkara yang akan dilanjutkan.

Beliau berkata, banyak rintangan dan cabaran dihadapi untuk menyelesaikan setiap inisiatif ditetapkan dalam pelan antirasuah itu.

Bangunan SPRM Putrajaya. - Foto fail NSTP
Bangunan SPRM Putrajaya. - Foto fail NSTP

"Mengikut perancangan jangka masa yang sudah ditetapkan sehingga akhir 2023, GIACC yakin hampir keseluruhan inisiatif yang masih berbaki 74 itu boleh diselesaikan, memandangkan kebanyakannya adalah di peringkat akhir penyediaan draf.

"Bagaimanapun GIACC tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa inisiatif yang memerlukan masa yang lebih lama dan melewati dari tempoh yang ditetapkan.

"Antara punca ia melewati tempoh masa yang ditetapkan adalah disebabkan beberapa inisiatif turut membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, semakan perundangan serta pindaan beberapa akta.

"Kami (GIACC) bersama-sama Ketua Agensi Peneraju (dalam agensi kerajaan dan kementerian) sedang menilai secara keseluruhan tempoh penyediaan serta mengenal pasti sekiranya ada inisiatif yang sukar dan mengambil masa lama untuk dilaksanakan," katanya kepada BH.

Menurut Laporan Kemajuan NACP 2019-2023, lapan inisiatif yang selesai pada tahun 2020 dan 2021 adalah memperkenalkan Kod Tugas dan Fungsi Setiausaha Politik (SUPOL); memperkenalkan dasar dalam pelantikan pegawai Contract For Service (CFS); elemen integriti sebagai prasyarat proses kenaikan pangkat perkhidmatan awam.

Semakan semula dan memperkukuhkan proses tapisan integriti sedia ada khususnya pegawai kerajaan berisiko tinggi; memasukkan elemen tadbir urus insan dalam program kepemimpinan bagi warga pendidik dan pentadbir sedia ada di Kementerian Pendidikan; penekanan terhadap elemen integriti dan nilai insan dalam program induksi penjawat awam.

Mengekalkan mekanisme penilaian harga berdasar kaedah Cut-Off dalam proses menilai harga tender iaitu berasaskan harga min (mean) dan sisihan piawai (standard deviation) bagi harga tender yang diterima dengan mengambil kira harga anggaran jabatan sebagai salah satu daripada harga tender dan turut sama mengeluarkan harga tender yang tidak munasabah serta memperkasakan penggunaan teknologi dan pendigitalan di Mahkamah Khas Rasuah.

Antara inisiatif yang diselesaikan pada 2019 adalah penubuhan jawatankuasa pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sistem perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran, penambahbaikan dasar berkaitan penerimaan hadiah, keraian dan bayaran oleh anggota pentadbiran, sekatan campur tangan politik dan individu berpengaruh dalam kenaikan pangkat, pelantikan dan jawatan dalam kerajaan dan Kod Tata Kelakuan Ahli Parlimen, Kod Etika Ahli Parlimen, Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam mengawal selia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tender terbuka dan kawalan dalaman dalam Jabatan Imigresen.

Inisiatif yang masih tertangguh meskipun sudah mula dibincangkan sejak 2019 adalah mentransformasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani isu integriti dan mengekang salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohd Sallehhuddin berkata, draf setiap inisiatif yang akan dilaksanakan perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Beliau memberi jaminan usaha memperkasa tadbir urus, pengukuhan integriti dan pemantapan usaha antirasuah dalam pengurusan pentadbiran kerajaan akan diteruskan walaupun tempoh NACP berakhir tahun depan, dengan tambahan inisiatif baharu.

Berita Harian X