X
Isnin, 18 April 2022 | 11:15am

Tragedi basikal lajak: Kerani bebas dengan jaminan

KUALA LUMPUR: Kerani, Sam Ke Ting, yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Panel membenarkan Ke Ting dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bapa kepada Sam Ke Ting di luar Mahkamah Rayuan selepas mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Bapa kepada Sam Ke Ting di luar Mahkamah Rayuan selepas mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sam Ke Ting ditutup dengan kain hitam selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Sam Ke Ting ditutup dengan kain hitam selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Mahkamah turut membenarkan permohonan wanita itu yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar untuk merayu sabitan kesnya di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup yang mewakili pendakwaan tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Oleh kerana kes itu pada asalnya bermula di Mahkamah Majistret, Ke Ting perlu mendapatkan kebenaran untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 (atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda) terhadap Ke Ting yang diperintahkan berkuat kuasa serta merta.

Dalam prosiding itu, Abu Bakar turut menolak permohonan wanita terbabit untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Abu Bakar membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Ke Ting.

Dalam tragedi berdarah yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi turut tercedera dirempuh kereta suspek.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 28 Oktober 2019, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Ke Ting tanpa memanggilnya untuk membela diri, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Ogos 2017, seramai 46 saksi pendakwaan dan 214 eksibit dikemukakan di mahkamah.

Berikutan keputusan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dan pada 18 Februari tahun lalu Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahanaz Sulaiman memerintahkan Ke Ting membela diri.

Di akhir kes pembelaan, mahkamah majistret pada 10 Oktober tahun lalu membuat keputusan melepas dan membebaskan Ke Ting daripada tuduhan berkenaan selepas mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Berikutan keputusan itu, pendakwaan sekali lagi memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Kerani, Sam Ke Ting, 26, dibenarkan jaminan oleh Mahkamah Rayuan.
Kerani, Sam Ke Ting, 26, dibenarkan jaminan oleh Mahkamah Rayuan.

Sementara itu Muhammad Faizal berkata anak guamnya menyeru orang ramai yang memperkatakan mengenai kesnya, tidak menimbulkan isu perkauman, sebaliknya memandangnya sebagai isu sejagat.

Menurut peguam itu, Ke Ting kecewa kerana terdapat pihak yang menyalahkan sistem kehakiman apabila dia menang di Mahkamah Majistret dengan mendakwa sistem kehakiman sudah rosak.

"Bagi tertuduh, dia adalah seorang yang percaya dengan kedaulatan undang-undang dan akur dengan sebarang keputusan mahkamah.

"Isu yang tertuduh sendiri faham ialah ia membabitkan nilai nyawa manusia, jadi kes ini bertembung dengan isu kebebasan seseorang tertuduh selagi dia tidak dibuktikan bersalah.

"Jadi dua isu ini yang diperjuangkan oleh saya iaitu selagi tidak dibuktikan bersalah maka dia tidak boleh dipenjarakan, pada masa sama timbalan pendakwa raya perjuangkan mengenai nilai manusia," katanya.

Muhammad Faizal berkata, anak guamnya berada dalam keadaan baik di penjara dan berterima kasih kepada keluarga, rakan serta persatuan yang menyokongnya.

Berita Harian X