Sabtu, 16 April 2022 | 6:37pm
 - Foto hiasan - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
- Foto hiasan - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Jangan ikat DUN dengan RUU antilompat parti'

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran tidak mengikat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pindaan Perlembagaan dan penggubalan undang-undang antilompat parti di peringkat Persekutuan.

Penganalisis politik Sunway University, Prof Dr Wong Chin Huat, berkata tindakan mengikat DUN dalam undang-undang itu di peringkat Persekutuan memberi kesan 'bahaya' pada masa depan, khususnya jika ada negeri berdepan masalah dengan undang-undang itu.

Katanya, ia berikutan DUN terpaksa bergantung harap pada Parlimen untuk meminda semula Perlembagaan sekiranya undang-undang mengikut format Persekutuan itu tidak sesuai dilaksanakan di negeri tertentu.

"Jadual Kelapan perlu dipinda untuk memaksa dan menyelaras penggunaan undang-undang antilompat parti yang sama antara negeri dengan Persekutuan, dan ini memerlukan majoriti dua pertiga.

"Sebagai contoh, jika ada lima negeri berdepan masalah melaksanakan undang-undang yang selaras ini, pindaan hanya boleh dilaksanakan di peringkat Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga.

"Negeri tidak sepatutnya dipaksa mengikut format sama dengan Persekutuan kerana kita berdepan isu lebih kompleks seperti gabungan politik melompat keluar, berbanding hanya kes ADUN atau Ahli Parlimen melompat parti.

"Kerajaan perlu meminda Perlembagaan bagi memberi kuasa kepada negeri menggubal undang-undang antilompat partinya sendiri, supaya mereka lebih fleksibal untuk menangani isu di peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bengkel Media mengenai Undang-Undang Antilompat Parti: Pindaan Perlembagaan dan Proses Parlimen di sini, hari ini.

Chin Huat berpandangan, tiada keperluan untuk Parlimen menggubal akta khusus mengenai antilompat parti, sebaliknya cukup meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.

Katanya, pindaan bagi mengosongkan kerusi Parlimen selepas berlaku lompat parti hanya memerlukan peruntukan ringkas, seperti dalam Perlembagaan di Singapura.

"Undang-undang antilompat parti tidak rumit kerana hanya perlu letakkan klausa mengenai pengosongan kerusi Parlimen jika berlaku lompat parti, pemecatan keahlian dalam parti atau peletakan jawatan dalam parti.

"Kerajaan juga perlu meminda beberapa peruntukan, antaranya memansuhkan Perkara 48(6) membabitkan larangan bertanding selama lima tahun bagi Ahli Dewan Rakyat.

"Turut perlu dipinda ialah Perkara 54(1) mengenai larangan melaksanakan pilihan raya kecil jika kekosongan kerusi berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen terbubar," katanya.

Isnin lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No.3) 2022 diputuskan untuk dikaji dan diteliti semula melalui sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas.

RUU itu mengusulkan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan menambah Fasal 3A, bagi membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubung keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli DUN, boleh dikenakan oleh undang-undang Persekutuan.

Pindaan itu adalah langkah pertama kerajaan dan pembangkang dalam usaha menggubal undang-undang antilompat parti, bagi mengawal tindakan lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan ADUN selepas pilihan raya.

Berita Harian X