Sabtu, 16 April 2022 | 5:02pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Pahang lupus hutang tanaman semula sawit RM11.1 juta

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju melupuskan hutang tanaman semula kelapa sawit sebanyak 80 peratus kepada 194 peserta tanam semula Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) berjumlah RM11.1 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelupusan hutang itu membabitkan lima ladang Rancangan Tanah Pemuda (RTP) dan satu ladang kecil milik peserta yang diuruskan oleh PKPP.

Katanya, RTP berkenaan ialah RTP Sepayang, Rompin; RTP Gemuruh, Pekan; RTP Kampung Awah, Bera, RTP Sungai Ular, Lipis, RTP Klau, Raub dan Ladang Kecil Sungai Charu, Kuantan membabitkan jumlah keseluruhan ladang iaitu 736.79 hektar.

"Jumlah hutang yang dilupuskan berjumlah RM11.1 juta berbanding RM13.9 juta.

"Pelupusan hutang adalah sebanyak 80 peratus sahaja manakala baki 20 peratus hutang masih perlu dijelaskan oleh peserta," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kertas cadangan pelupusan 80 peratus hutang itu dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah PKPP kali ke-287 pada 15 November 2021.

Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengarah PKPP kali ke-288 pada 24 Mac lalu bersetuju dengan cadangan pelupusan itu.

"Pengurusan PKPP telah mengadakan sesi perjumpaan bersama peserta untuk mendapatkan maklum balas berhubung cadangan ini.

"Majoriti peserta bersetuju dengan cadangan ini.

"Peserta yang telah menjelaskan semua hutang boleh menguruskan sendiri ladang mereka atau menyerahkan pengurusan ladang kepada anak syarikat PKPP berkuat kuasa Jun 2022," katanya.

Berita Harian X