Jumaat, 15 April 2022 | 6:30pm
Foto hiasan. - Foto NSTP
Foto hiasan. - Foto NSTP

ProtectHealth bantu KKM percepatkan pelaksanaan dos penggalak kedua

KUALA LUMPUR: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) akan membantu dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memaksimum serta mempercepatkan pelaksanaan dos penggalak kedua COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata usaha itu akan dilakukan melalui pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan di bawah ProtectHealth selain menggalakkan pembabitan pengamal perubatan swasta (PMP).

Mengulas lanjut katanya, golongan berisiko tinggi khususnya membabitkan individu yang berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi dinasihati untuk mendapatkan vaksin dos penggalak kedua menjelang sambutan Hari Raya ini.

"Dos penggalak kedua adalah diberikan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Namun dalam menuju peralihan ke fasa endemik, adalah sangat penting untuk golongan yang paling terdedah terus dilindungi melalui dos penggalak kedua ini.

"Berikutan Hari Raya yang menjelang tiba, saya ingin menasihati individu yang berisiko tinggi ini untuk mendapatkan perlindungan yang lebih optimum dari virus COVID-19 dengan mendapatkan vaksin dos penggalak kedua," katanya melalui kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan sebagai berkata, KKM akan mula memberikan suntikan dos penggalak yang kedua kepada segelintir kelompok individu sebagai kumpulan penerima pertama, berlandaskan syarat tertentu.

Antara kelompok penerima pertama itu merangkumi golongan warga emas yang mempunyai komorbiditi atau sihat tubuh badan, selain pengembara ke luar negara.

Dos penggalak kedua boleh diambil oleh individu berumur 60 tahun dan ke atas, dengan komorbiditi berisiko tinggi dan individu yang mempunyai sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana, berumur 12 tahun dan ke atas.

Pada masa sama, Dr Anas Alam berkata, pihaknya mengalu-alukan perkembangan ini, kerana objektif pemberian dos penggalak kedua adalah untuk memastikan tahap perlindungan optimum untuk warga emas dan individu berisiko tinggi, kerana mereka adalah kumpulan yang paling terdedah kepada virus COVID-19.

"Selain itu, kami juga menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada orang ramai mengenai dos penggalak kedua," katanya.

Beliau berkata, sehingga 14 April lalu, sebanyak 15.9 juta dos penggalak diberikan dan 12.3 juta dos atau 77.4 peratus disumbangkan PMP dan NGO penjagaan kesihatan di bawah ProtectHealth.

Berita Harian X