Jumaat, 15 April 2022 | 3:06pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Perlu ada data kemerosotan perlindungan

KUALA LUMPUR: Data mengenai kemerosoton tahap perlindungan sistem pertahanan badan perlu dikemukakan bagi menambah keyakinan golongan berisiko mengambil suntikan dos penggalak kedua.

Usaha itu yang perlu dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kajian di peringkat tempatan dijangka membendung sikap 'tunggu dan lihat' untuk mendapatkan suntikan dos keempat, selain menangani risiko kematian sekiranya varian XE mula masuk ke Malaysia.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata langkah kerajaan menawarkan pemberian suntikan dos penggalak kedua kepada golongan berisiko adalah keputusan wajar.

Bagaimanapun, katanya, ramai pihak ragu-ragu terhadap keperluan dos penggalak, memandangkan kebanyakan kes jangkitan COVID-19 ketika ini hanya mencetuskan gejala ringan dan sederhana.

"Perkembangan situasi semasa menyaksikan jangkitan COVID-19 akan jadi lebih kurang seperti influenza, justeru memang diperlukan dos penggalak atau vaksin dalam tempoh berpanjangan.

"Tetapi, adalah lebih baik seandainya KKM yang mempunyai kuasa untuk mengendalikan kajian, memberikan data untuk penilaian umum khususnya golongan berisiko, sebelum mengambil suntikan dos penggalak kedua.

"Meskipun Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sudah memberikan 'lampu hijau' untuk memulakan dos penggalak kedua, keputusan sedemikian tidak disokong menerusi data di peringkat Malaysia.

"Justeru, demi menangani keraguan terutama golongan warga emas yang mempunyai komorbiditi, mereka wajar diberikan data mengenai kemerosotan tahap perlindungan sistem pertahanan badan selepas suntikan dos penggalak pertama sebagai bukti," katanya kepada BH, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam mengumumkan penawaran suntikan dos penggalak kedua, menggunakan vaksin Pfizer, secara pilihan kepada golongan warga emas yang berisiko dan pengembara ke luar negara.

Berdasarkan data Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH) sebelum ini, imuniti dikesan merosot dalam tempoh tiga hingga lima bulan, selepas pemberian dos kedua vaksin COVID-19.

Bagi penerima Sinovac, imuniti dalam bulan pertama dan kedua, iaitu selepas suntikan dos kedua adalah sekitar 76.1 peratus dan berkurangan dalam tempoh lima hingga enam bulan sebanyak 48.2 peratus, dengan tahap perlindungan serendah 27.9 peratus.

Bagi vaksin Pfizer, dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas menerima dos kedua, imuniti dalam badan menyusut sebanyak 68 peratus, kepada 20.7 peratus berbanding 88.7 peratus selepas tempoh tiga hingga lima bulan.

Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, pula berkata masyarakat mempunyai dua pilihan bagi berdepan risiko jangkitan COVID-19, iaitu sama ada menerusi pembentukan imuniti secara semula jadi atau dengan pengambilan suntikan vaksin.

Susulan kemunculan pelbagai varian, jelasnya, tahap gejala dan risiko kematian apabila dijangkiti semakin berkurangan, selain didorong oleh pembentukan sistem pertahanan badan menerusi pengambilan dos primer (dua dos pertama vaksin).

"Orang muda memang tiada masalah untuk sembuh daripada jangkitan dan membentuk imuniti secara semula jadi setakat ini tanpa mengira apa varian sekali pun.

"Namun, situasi berbeza dalam konteks golongan warga emas yang berisiko, terutama dengan kes komorbiditi seperti masalah saluran pernafasan, jantung dan saraf kerana ini antara 'lubuk' utama serangan wabak jika positif.

"Kalau ikutkan data imunisasi membabitkan vaksin bagi penyakit lain sebelum ini, tahap perlindungan boleh kekal dalam tempoh satu hingga dua tahun.

"Tetapi, kita tidak tahu sejauh mana data ini relevan dalam kes COVID-19 dan dengan kemunculan pelbagai varian, justeru adalah lebih baik jika KKM memberikan bukti sokongan," katanya.

Berita Harian X