Jumaat, 15 April 2022 | 11:32am

Coopmart ringankan kos sara hidup Keluarga Malaysia - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan lebih 500 kedai koperasi atau Coopmart yang diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, penubuhan Coopmart itu bukan sahaja boleh jana dividen untuk ahli koperasi tetapi juga menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

Beliau berkata, Coopmart juga berperanan membantu mengurangkan kos sara hidup Keluarga Malaysia, berikutan jumlah keanggotaan ahli koperasi yang ramai.

"Gerakan koperasi juga boleh menguasai sebahagian daripada pasaran pemborongan dan peruncitan terutama sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistem yang komprehensif dan bersepadu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik perasmiran sambil diperhatikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) ketika majlis pelancaran Coop Mart di Dewan Seri Pudina Presint 17, Putrajaya. NSTP/HAIRUL ANUAR EAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik perasmiran sambil diperhatikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) ketika majlis pelancaran Coop Mart di Dewan Seri Pudina Presint 17, Putrajaya. NSTP/HAIRUL ANUAR EAHIM

"Sehingga Disember tahun lalu, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 koperasi sektor pemborongan dan peruncitan sudah didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta.

"Ini menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) melihat produk yang dijual di Coop Mart ketika majlis pelancaran Coop Mart di Dewan Seri Pudina Presint 17, Putrajaya. NSTP/HAIRUL ANUAR EAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) melihat produk yang dijual di Coop Mart ketika majlis pelancaran Coop Mart di Dewan Seri Pudina Presint 17, Putrajaya. NSTP/HAIRUL ANUAR EAHIM

"Jika semua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosio ekonomi dan

impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara," katanya ketika melancar dan merasmikan Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri berkata, sektor koperasi tempatan didapati menawarkan peluang kepada Keluarga Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan melalui keanggotaan dan pemilikan saham koperasi, yang juga bertindak sebagai pemasar produk keluaran ahli-ahlinya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan pada pembentangan Bajet 2022, memperuntukkan RM10 juta bawah Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) bagi memulihkan koperasi dan menjalankan aktiviti yang membantu menggerakkan ekonomi negara.

Katanya, turut disediakan bantuan menaik taraf infrastruktur koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berjumlah RM3.7 juta melalui Kumpulan Wang COVID – Kementerian Kewangan (PEMULIH) manakala sejumlah RM16 juta diperuntukkan kepada koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bagi 2021 hingga 2022.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, langkah penubuhan Coopmart dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutama di kawasan luar bandar dan kawasan mempunyai majoriti penduduk adalah golongan B40 selain juga ahli-ahli koperasi, pengguna dan usahawan yang terbabit dalam rantaian bekalan.

Beliau berkata, ia dapat dilihat melalui Coopmart milik Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Presint 17, Putrajaya yang ditubuhkan dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Katanya, kewujudan Coopmart yang mendapat bekalan langsung daripada pembekal koperasi seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta lain-lain pembekal, penduduk setempat menawarkan situasi menang-menang sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Saya berharap pihak ANGKASA sebagai koperasi puncak atau induk di negara ini dapat bersama-sama dengan pihak kerajaan mempertingkatkan peranan CoopMart dan membantu koperasi di negara ini yang ingin menceburi perniagaan sektor berkenaan.

"Menerusi kerjasama semua pihak khususnya KUSKOP dan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia memperkasakan kedai koperasi ini,

Saya percaya ia dapat mempercepatkan hasrat kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa ini dan juga masa akan datang," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan melalui Program Coop Community Mart memperuntukkan sejumlah RM360,000 kepada dua koperasi di kawasan perumahan rakyat, dengan koperasi Pudina Putrajaya Berhad antara penerima manfaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran Coop Mart di Dewan Seri Pudina Presint 17, Putrajaya. NSTP/HAIRUL ANUAR EAHIM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran Coop Mart di Dewan Seri Pudina Presint 17, Putrajaya. NSTP/HAIRUL ANUAR EAHIM
Berita Harian X