Khamis, 14 April 2022 | 11:35pm
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Calon Ismail Sabri sebagai PM PRU-15, serlah solidariti luar biasa

KUALA LUMPUR: Keputusan sebulat suara dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, memperlihatkan tahap solidariti luar biasa untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata keputusan itu memberikan mesej dan petanda jelas UMNO sudah mencapai 'tahap solidariti' yang luar biasa kukuh untuk berdepan cabaran PRU-15.

"Solidariti dan dokongan utuh parti kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri PRU-15, memperlihatkan MKT menyempurnakan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan aspirasi ahli UMNO seluruh negara.

"Pengesahan padu MKT UMNO ini sekali gus memberikan ruang yang cukup luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merencana agenda memenangi hati dan minda rakyat dalam masa terdekat ini," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan, MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri menjelang PRU-15.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata ikhtiar reformasi dan transformasi politik juga akan dapat disusun dengan lebih kemas dan menyeluruh.

"Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri akan datang pastinya akan mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia.

"Saya mewakili seluruh ahli UMNO Bahagian Kepala Batas, kebijaksanaan muafakat yang dicapai oleh pimpinan tertinggi ini adalah azimat penting untuk UMNO memperoleh mandat penuh rakyat menjelang PRU-15 akan datang," katanya.

Berita Harian X