Khamis, 14 April 2022 | 7:19pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Vaksin kanak-kanak tidak sampai 50 peratus sasaran bulan ini

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) gagal mencapai sasaran 50 peratus bagi bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu, beliau merayu ibu bapa supaya membenarkan anak mereka yang berumur lima tahun dan ke atas untuk mendapatkan vaksinasi.

Katanya, kegagalan untuk mendapatkan vaksinasi menerusi program disediakan kerajaan membuatkan mereka selepas ini perlu menanggung kos apabila perlu membayar bagi mendapatkan pelalian itu, selepas 15 Mei yang ditetapkan sebagai tarikh tamat PICKids.

"Malangnya kita mungkin tak tercapai sasaran iaitu 50 peratus bagi bulan ini. Oleh yang demikian, Timbalan Menteri Kesihatan I (Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) selaku pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) telah umumkan bahawa kita ada tarikh tamat PICKids iaitu pada 15 Mei.

"Bagi mereka yang tidak tampil untuk daftar anak mereka untuk dapatkan dos pertama pada 15 Mei, mereka tidak lagi akan diberikan vaksin Pfizer atau Sinovac secara percuma oleh kerajaan dan mereka perlu bayar dalam pasaran swasta dan tersedia.

"Yang tersedia hanya Sinovac. Prfizer hanya diberikan melalui program kerajaan dan selepas 15 Mei tidak ada lagi. Cuma kerajaan akan simpan stok kepada yang belum lagi sampai usia lima tahun sebab kalau kita ada stok penimbal sedikit," katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Khairy, bagi mereka yang menyambut ulang tahun kelima pada tahun ini, tahun depan dan akan datang, KKM ada menyimpan stok vaksin bagi yang ibu bapa mereka memilih untuk memberi vaksin.

Katanya, namun ia hanya untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

"Yang ibu bapa tidak membenarkan anak mereka divaksinasi, 15 Mei adalah tarikh terakhir. Saya rayu kepada semua untuk gunakan peluang untuk mendapatkan vaksin Pfizer atau Sinovac melalui PICKids.

"Pastikan anda daftar sebelum 15 Mei sebelum kita tamatkan program ini," katanya.

Semalam, Dr Noor Azmi mengumumkan mesyuarat CITF-C memutuskan tarikh akhir pemberian vaksin COVID-19 dos pertama di bawah PICKids ditetapkan pada 15 Mei ini.

Menurut Dr Noor Azmi, bermula 16 Mei ini, KKM tidak lagi menawarkan dos pertama bagi vaksin COVID-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

Berita Harian X