Khamis, 14 April 2022 | 6:11pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Protokol baharu kontak rapat bermula 22 April ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menetapkan protokol baharu kontak rapat tanpa mengira status vaksinasi berkuatkuasa 22 April ini.

Ia membabitkan kontak rapat tanpa gejala dan bergejala.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata bagi kontak rapat tanpa gejala, individu berkenaan tidak perlu menjalani pengawasan dan pemerhatian (HSO).

Bagaimanapun, katanya individu berkenaan perlu mematuhi beberapa protokol yang ditetapkan.

"Dalam tempoh lima hari dari tarikh terakhir pendedahan kepada kes positif COVID-19, kontak rapat ini hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah, elakkan berada di tempat yang sesak dan elakkan daripada melawat kumpulan berisiko tinggi.

"Selain itu, hendaklah memastikan pengudaraan yang baik dan membuat perjalanan yang penting sahaja," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Bagi kontak rapat bergejala pula, Khairy berkata KKM menasihatkan untuk melakukan kuarantin kendiri.

Tambahnya, individu berkenaan digalakkan menjalani ujian RTK-Ag kendiri pada hari gejala bermula dan seterusnya melakukan sekali lagi pada hari ketiga.

"Jika mana-mana keputusan ujian RTK-Ag adalah negatif dan gejala berkurangan, kontak rapat boleh melakukan aktiviti-aktiviti luar.

"Kontak rapat ini hendaklah sentiasa memakai pelitup muka apabila keluar dari rumah, elakkan berada di tempat yang sesak, elakkan daripada melawat kumpulan berisiko tinggi, memastikan pengudaraan yang baik dan membuat perjalanan yang penting sahaja.

"Bagaimanapun, jika gejala bertambah teruk, sila dapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan terdekat. Jika keputusan RTK-Ag positif, individu tersebut hendaklah diuruskan mengikut garis panduan pengurusan kes positif COVID-19," katanya.

Berita Harian X