Khamis, 14 April 2022 | 4:27pm
Sam Ke Ting failkan usul rayu keputusan Mahkamah Tinggi. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Sam Ke Ting failkan usul rayu keputusan Mahkamah Tinggi. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Ke Ting fail usul rayu keputusan Mahkamah Tinggi

JOHOR BAHRU: Wanita yang memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu, hari ini memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi.

Ia membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kepada Sam Ke Ting, 27, kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak.

Peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar, berkata notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan menerusi sistem e-filing mahkamah.

Pihaknya turut memfailkan sijil segera bagi mempercepatkan pendengaran rayuan kes itu.

"Notis usul kebenaran merayu dan sijil perakuan segera sudah difailkan hari ini melalui sistem e-filing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Ke Ting turut diperintah menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Keputusan diputuskan Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika keputusan rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar dalam keputusannya berkata, perbuatan responden memandu cara melulu atau berbahaya menyebabkan kehilangan lapan nyawa.

Dalam tragedi di Jalan Lingkaran Dalam di sini, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja menaiki basikal lajak terkorban dengan empat parah manakala empat lagi cedera dirempuh kereta dipandu Ke Ting.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Berita Harian X