Rabu, 13 April 2022 | 1:33pm

Lebih 3,000 khinzir komersial dijangkiti ASF di Perak

IPOH: Lebih 3,000 ekor khinzir komersial membabitkan tiga ladang ternakan di dua daerah negeri ini, dikesan dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF).

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria, berkata ia disahkan melalui ujian 'Real-time PCR' oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh.

Katanya, penyakit itu mula menjangkiti sebuah ladang ternakan khinzir komersial di Daerah Hilir Perak, 27 Mac lalu, manakala dua lagi di Batang Padang pada 4 April.

Susulan penularan penyakit itu, beliau berkata, Notis Kuarantin mengikut Seksyen 18(3) Akta Binatang 1953 (Semakan – 2006) (Akta 647) dikeluarkan kepada pemilik ladang khinzir yang disahkan positif, supaya tidak memindahkan ternakan khinzir keluar masuk ladang terjangkit.

"Enam ladang khinzir yang berada dalam jarak lima kilometer (km) radius (kawasan wabak) dari ladang yang disahkan positif, turut dikuarantin untuk pemeriksaan lanjut dan persampelan.

"Semua khinzir di ladang yang positif diambil tindakan pelupusan segera mengikut Seksyen 19 Akta Binatang 1953 (Semakan – 2006) untuk mengawal perebakan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razman memaklumkan setakat ini, sebanyak 990 ekor khinzir dari ladang terbabit, sudah dilupuskan.

"Pemantauan, pemeriksaan dan persampelan semua ladang khinzir di dalam daerah terbabit turut dijalankan, sebagai langkah proaktif dalam usaha mengawal perebakan.

"Penternak khinzir komersial dinasihat mempertingkatkan kawalan ketat biosekuriti di ladang khinzir masing-masing bagi membendung penularan wabak ASF ke ladang mereka," katanya.

Bagi memastikan kawalan dan penguatkuasaan lebih ketat dapat dijalankan, beliau berkata, Perintah Kawasan Dijangkiti, Kawasan Kawalan Dan Pembasmian Penyakit ASF Perak diwartakan pada 4 April lalu.

Sementara itu Pengarah Veterinar Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan, berkata bekalan daging khinzir untuk pasaran di Perak tidak terjejas, setakat ini.

Beliau menjelaskan, ini kerana bilangan khinzir terjejas tidak mencecah satu peratus daripada peratusan pengeluaran.

"Setiap tahun, kita mengeluarkan 56,000 metrik tan daging khinzir yang bernilai kira-kira RM621 juta. Perak adalah pengeluar terbesar babi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sekali gus meminta pihak berkaitan, terutama Persatuan Penternak Babi Perak, supaya mengingatkan ahli mempertingkatkan sekuriti.

"Paling penting, kita meminta penternak memberitahu lebih awal agar kita boleh membantu membendung dan mengelakkan rakan pengusaha babi yang lain daripada menghadapi kematian ternakan yang banyak.

"Sekiranya ada kes, terus lapor agar kita boleh membuat tindakan segera menyekat pergerakan keluar dari kawasan yang kita kuarantin bagi mengurangkan perebakan," katanya.

Razman menunjukkan dokumen berkaitan penyakit ASF sambil diperhatikan oleh Dr Ahmad Shafri pada sidang media, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN
Razman menunjukkan dokumen berkaitan penyakit ASF sambil diperhatikan oleh Dr Ahmad Shafri pada sidang media, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X