Selasa, 12 April 2022 | 5:58pm
Dr Mohd Aleef Yusof (kanan) dan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto NSTP
Dr Mohd Aleef Yusof (kanan) dan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto NSTP

ADUN Sungai Udang gagal rayu bantah petisyen pilihan raya calon BN

PUTRAJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusof, hari ini gagal dalam rayuannya untuk membantah petisyen pilihan raya dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, yang tewas pada Pilihan Raya Negeri Melaka, pada 20 November tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Dr Mohd Aleef, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada 11 Februaria yang menolak, bantahan awalnya.

Hakim Azahar berkata keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal Dr Mohd Aleef, adalah tidak boleh dirayu ke Mahkamah Persekutuan.

"Kami dengan teliti telah mempertimbangkan hujahan semua pihak, dan juga mempertimbangkan dengan teliti keputusan Mahkamah Pilihan Raya. Pada pandangan kami, keputusan Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal tidak membatalkan petisyen pilihan raya itu. Pada pandangan kami, perintah Mahkamah Tinggi bukanlah penentuan dalam peruntukan Seksyen 36A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Oleh sebab itu keputusan Mahkamah Pilihan Raya tidak boleh dirayu kepada Mahkamah Persekutuan. Perayu (Dr Mohd Aleef) tidak diprejudis kerana beliau masih boleh membawakan isu yang sama pada perbicaraan sebenar di hadapan Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab itu Mahkamah menolak rayuan ini," kata Hakim Azahar dan menambah kos akan ditentukan dalam kos penyelesaian kes itu.

Pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, panel hakim mendengar hujahan daripada peguam Rosli Dahlan yang mewakili Dr Mohd Aleef, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohd Ali dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang.

Pada masa ini, perbicaraan masih berjalan dengan 13 saksi telahpun dipanggil. Perbicaraan di Mahkamah Pilihan Raya Melaka akan bersambung pada 18 April.

Pada 14 Disember, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, 35, dari Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa terdapatnya elemen rasuah pada pilihan raya bagi kerusi Sungai Udang.

Beliau menamakan Dr Mohd Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi pada pertandingan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi itu, dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam petisyennya, Mohamad Ali yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, memohon untuk membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef dan untuk diadakan pemilihan semula untuk kerusi itu.

Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleed telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti di bawah Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. - BERNAMA

Berita Harian X