KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan daripada pihak berkuasa Singapura dalam siasatan terhadap suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Dr Tawfiq Ayman, berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata perkara itu hasil perbincangan pasukan penyiasat PDRM bersama pihak Commersial Affair Department (CAD) Singapura pada 29 hingga 31 Mac lalu.
"Pihak CAD memberikan kerjasama erat sepanjang perbincangan diadakan dan hasil perbincangan, pasukan penyiasat PDRM telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan.
"Bagaimanapun, bagi memastikan dokumen dan keterangan itu boleh diterima mahkamah, ianya perlu melalui proses 'mutual legal assistance' (MLA) yang akan dikendalikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, polis juga sudah merujuk siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya daripada sudut MLA.
BH sebelum ini melaporkan, pasukan penyiasat PDRM akan ke Singapura pada hujung Mac lalu bagi pengumpulan maklumat dan mendapatkan keterangan berkait siasatan terhadap Tawfiq.
Mohd Kamarudin dipetik sebagai berkata, pasukan penyiasat ke negara itu selepas Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura memberikan persetujuan.
Katanya, PDRM komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindung mana-mana pihak.
"Pihak berkuasa di Singapura juga sudah memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat dan dokumen secara 'on intelligence basis' dengan pegawai penyiasat JSJK.
"Kertas siasatan polis sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada Oktober lalu dan arahan diterima daripada Jabatan Peguam Negara untuk PDRM adalah mendapatkan keterangan yang berada di Singapura, yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia," katanya.
Katanya, siasatan yang dijalankan terhadap Tawfiq dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001, berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura.
Pasukan Polis Singapura (SPF) sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat pelbagai urusan surat-menyurat antara kedua-dua pihak sejak Disember lalu susulan permintaan polis Malaysia menghantar pegawainya ke republik itu berhubung siasatan berkenaan.