Selasa, 12 April 2022 | 3:42pm

'Beli gula dulu jika mahu minyak masak paket'

KOTA BHARU: Peniaga kedai runcit di sini, mendakwa pemborong meletakkan syarat supaya membeli gula terlebih dulu bagi mendapatkan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg).

Malah, pemborong juga menetapkan jumlah minyak masak bersubsidi yang diperoleh itu bergantung kepada jumlah pembelian gula.

Disebabkan itu, peniaga memaklumkan bekalan minyak masak paket mengalami gangguan dan mereka terpaksa mengehadkan jualan memandangkan stok yang terhad.

Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati, rak yang sepatutnya menempatkan minyak masak itu kosong dan peniaga mempamerkan notis memaklumkan minyak masak satu kg kehabisan.

Peniaga kedai runcit, Siti Mahayon Mokhtar, 50, mendakwa minyak masak paket mengalami masalah kekurangan bekalan sejak tahun lalu dan lebih meruncing sejak Ramadan.

"Malah, pemborong juga meletakkan syarat untuk membeli minyak masak paket, peniaga perlu membeli gula dan jumlah minyak masak paket yang diberikan pula bergantung kepada berapa kg gula yang dibeli.

"Disebabkan bekalan minyak masak paket diperoleh sedikit, saya hanya menjualnya kepada pelanggan tetap dengan mengehadkan

hanya satu atau dua paket minyak masak kepada setiap pembeli dan ia bergantung kepada bekalan minyak yang diperoleh," katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa, hari ini.

Bagi Siti Hajar Sidek, 43, dia turut bingung dengan ketiadaan stok bahan mentah itu dan bekalan yang dihantar oleh pembekal juga tidak banyak berbanding sebelum ini.

"Jika dapat bekalan minyak masak paket yang dihantar oleh pembekal, saya akan mengehadkan hanya dua paket minyak kepada setiap pembeli dan ia akan habis dijual dalam tempoh yang singkat.

"Ada waktunya saya terpaksa mencatu jualan dan kadang-kadang ramai peniaga makanan yang tidak berpuas hati kerana sangat perlukan minyak masak paket ini untuk perniagaan mereka," katanya.

Mohd Jusoh Yahya, 56, pula berkata kebanyakan pelanggan yang datang ke kedainya untuk mendapatkan minyak masak paket merungut.

"Saya sendiri tidak tahu kenapa masih tiada stok bahan mentah ini sejak lebih sebulan lalu.

"Besar kemungkinan kehabisan stok minyak masak paket adalah disebabkan permintaan yang tinggi dan bekalan yang tidak banyak, manakala minyak botol yang dijual pula kurang mendapat sambutan kerana harganya yang mahal," katanya.

Siti Mahayon menunjukkan bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kg mengalami gangguan bekalan sejak tahun lalu ketika ditemui di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Siti Mahayon menunjukkan bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kg mengalami gangguan bekalan sejak tahun lalu ketika ditemui di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X