Selasa, 12 April 2022 | 12:56pm
Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi penganjuran Sarawak Week mulai 16 April ini. - Foto NSTP/Ihsan TERAJU
Kedai Asia yang dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi penganjuran Sarawak Week mulai 16 April ini. - Foto NSTP/Ihsan TERAJU

Ikan terubuk masin ke Arab Saudi

KUCHING: Ikan terubuk masin, telur ikan terubuk, gula apong, lada hitam dan madu kelulut akan menemui penggemarnya di Arab Saudi sempena Sarawak Week di negara terbabit bermula 16 April ini.

Lima produk itu antara keluaran tempatan Sarawak yang premium dan berpotensi besar untuk dibawa ke pasaran antarabangsa kerana mempunyai nilai keaslian dan keunikan tersendiri.

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri bersama rakan strategiknya, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kenyataan media bersama hari ini memaklumkan, Sarawak Week dianjurkan menerusi program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2020.

Sarawak Week akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad pada 16 April ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, 'Alauddin Mohd Nor; Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Faizalkhan Jaafar; Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed dan Pengarah Jaringan Komuniti BJIM, Syed Yusof Syed Kechik, dijangka turut hadir pada majlis perasmian itu nanti.

Menurut kenyataan itu, DPUB Sarawak 2020 adalah sebahagian daripada inisiatif Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) dan Rolling Plan Ketiga (RP3) bagi mengukuhkan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat melalui sistem kerjasama Quadruple Helix Model yang membabitkan agensi kerajaan, insitusi pendidikan, rakan industri dan orang awam.

"Dengan mengadapatasi model ini, ia memberi impak yang positif kepada usahawan Bumiputera apabila produk komuniti keluaran tempatan berjaya dipasarkan bukan sahaja di peringkat domestik malah telah menembusi pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi, Jepun, China dan Amerika Syarikat," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Syed Yusof, yang juga Ketua program SMART Community, berkata Kedai Asia dibangunkan oleh Husam Waksa Sdn Bhd dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah, Arab Saudi bagi melancarkan lagi penganjuran Sarawak Week.

"Kedai Asia adalah entiti pertama perniagaan Malaysia yang berjaya membuka ruang perusahaan runcit di Menara Jam Abraj Al-Bait di Mekah.

"Pemilihan rakan strategik itu dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Kedai Asia yang menerima anugerah Export Award daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tahun 2017 dan anugerah Social Enterprise oleh Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Kedai Asia adalah kedai runcit milikan pertama anak Malaysia di Arab Saudi dan Negara Teluk bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal, malah turut menjalankan perniagaan secara atas talian melalui aplikasi pintar.

Selain itu, margin penjualan produk Sarawak yang ditempatkan di Kedai Asia meningkat sebanyak 68.1 peratus kepada aliran pendapatan semasa Husam Waksa Sdn Bhd."

Md Silmi ketika mengulas lanjut penganjuran Sarawak Week pula berkata, projek yang memfokuskan kepada keterangkuman wilayah dan inklusif Bumiputera B40 di Sarawak itu memberi manfaat kepada lebih daripada 233 usahawan Bumiputera yang berpendapatan rendah di Sarawak.

"Ia selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB 2030) naskah Pembangunan Bumiputera sedekad akan datang yang dibangunkan TERAJU dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang memfokuskan sektor keusahawanan sebagai antara usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara amnya, sekali gus memanfaatkan ekosistem keusahawanan yang ditawarkan oleh kerajaan sebaiknya," katanya.

Berita Harian X