Isnin, 11 April 2022 | 2:34pm
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB
- Foto hiasan. - NSTP/ARKIB

Syor larang wakil rakyat lompat parti tanding pilihan raya

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini didakwa tidak jelas terhadap usaha melarang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada melompat parti.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melihat cadangan pindaan RUU itu hanya lebih merujuk kepada keahlian dalam parti politik, bukan untuk tujuan mengawal selia Akta Antilompat Parti yang akan digubal kelak.

"Apa yang penting kepada kita adalah untuk mengawal Ahli Parlimen yang melompat, bukan ahli parti yang melompat. Ini perkara pokok yang penting untuk kita lihat," katanya dalam sesi perbahasan RUU berkenaan.

Bagi memastikan Akta Antilompat Parti yang akan digubal kelak tidak mengakibatkan banyak pertindihan kuasa dengan Perlembagaan Persekutuan, Presiden Parti Warisan (WARISAN) itu mencadangkan Perkara 10(2)(c), Perkara 48(4), Perkara 48(6) Perlembagaan turut dipinda.

"Kita harus mengambil berat keanggotaan keahlian Dewan Rakyat oleh undang-undang Persekutuan dan keanggotaan DUN oleh undang-undang negeri, bukan untuk mengawal ahli mereka (ahli Parlimen dan ADUN) dalam mana-mana perkara," katanya.

Mohd Shafie juga mencadangkan, di bawah Akta Antilompat Parti kelak, mana-mana ahli Parlimen dan ADUN yang didapati bersalah dengan bukti jelas oleh badan seliaan undang-undang, tidak dibenarkan bertanding mana-mana kerusi Parlimen atau DUN dalam tempoh sekurang-kurangnya dua penggal.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh bertindak sebagai pihak berkuasa penentu dalam kes ahli Parlimen melompat parti. Sebagai alternatifnya, Parlimen juga boleh menubuhkan tribunal bebas yang diketuai pesara hakim Mahkamah Tinggi untuk memutuskan kes secara adil," katanya.

Berita Harian X