Isnin, 11 April 2022 | 1:29pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Seri Perdana semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Seri Perdana semalam.

PM, PH bincang 4 perkara di Parlimen

KUALA LUMPUR: Perbincangan Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri pagi tadi terarah kepada empat perkara 'pokok'.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau, menerusi kenyataan bersama berkata ia meliputi pindaan Perlembagaan Persekutuan dan usaha menggubal Akta Antilompat Parti.

Mesyuarat itu yang berlangsung di Parlimen membangkitkan keperluan untuk memperhalusi pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak berpersatuan supaya dihadkan kepada Rang Undang-Undang (RUU) berhubung larangan melompat parti.

"Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras semangat RUU Antilompat Parti.

"Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, membabitkan semua parti. Ahli jawatankuasa ini ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan draf pindaan Perlembagaan serta RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

"Pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang serta diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung Mei depan," katanya, hari ini.

Keempat-empat pemimpin yang mewakili Majlis Presiden PH itu turut mengulangi pendirian bahawa RUU Antilompat Parti adalah antara syarat utama memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, antara kerajaan dan pembangkang.

Sehubungan itu, kenyataan itu menyebut, PH komited terhadap proses untuk memastikan pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen.

"Ini demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia," katanya.

Berita Harian X