Ahad, 10 April 2022 | 3:28pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Sri Aman, Serian diisytihar kawasan ASF

KUCHING: Sri Aman dan Serian diisytihar sebagai Kawasan Kawalan Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang baharu di negeri ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Stephen Rundi Utom, berkata ia susulan laporan media Indonesia mengenai wabak ASF di Kalimantan Barat.

"Pada masa sama, babi kampung di Kampung Mapu Kijabu dan Kampung Daha Kisau di Serian disahkan positif ASF oleh makmal Veterinar Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan pengesanan virus ASF pada 6 April lalu di rumah sembelih Krokop Miri, beliau berkata, arahan penutupan dikeluarkan mengikut Seksyen 25, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 sebagai langkah kawalan untuk menghalang penularan penyakit berkenaan.

Rundi berkata, ia bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan dengan berkesan.

Bagi menampung bekalan daging babi untuk pasaran di Miri, katanya, Veterinar Sarawak membenarkan pergerakan daging babi dari Sibu, Samarahan dan Kuching untuk dihantar ke Miri.

Rundi berkata, pergerakan babi hidup ke Miri untuk penyembelihan diberhentikan buat sementara waktu.

"Bekalan mencukupi untuk perayaan Hari Gawai akan datang.

"Veterinar Sarawak sentiasa proaktif dalam memantau ASF dan membantu penternak yang terjejas bagi memastikan bekalan di pasaran selamat untuk dimakan.

Beliau turut mengingatkan para penternak babi untuk memperketatkan biosekuriti ladang masing-masing bagi mengelak jangkitan ASF.

"Pemberian sisa dapur yang mungkin dicemari ASF kepada babi perlu dihentikan kerana terbukti banyak kes jangkitan melalui cara ini.

"Orang awam turut dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti memburu babi hutan di kawasan berdekatan sempadan," katanya.

Berita Harian X