Ahad, 10 April 2022 | 1:23pm
JPVNS mengesan kes positif Demam Babi Afrika (ASF) membabitkan dua babi dari sebuah ladang ternakan tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Tanah Merah. - NSTP/ AZRUL EDHAM
JPVNS mengesan kes positif Demam Babi Afrika (ASF) membabitkan dua babi dari sebuah ladang ternakan tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Tanah Merah. - NSTP/ AZRUL EDHAM

Rondaan di ladang positif kes ASF diperketat

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) menggerakkan rondaan keselamatan di kawasan berhampiran lokasi kes pertama Demam Babi Afrika (ASF) yang dikesan di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, semalam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Redzuan Ibrahim, berkata ia bagi memastikan tiada ternakan dibawa keluar dan masuk ke ladang itu.

Katanya, pengesanan penyakit itu adalah hasil persampelan yang mendapati dua daripada 275 ekor babi di ladang itu positif virus ASF.

"JPVNS sudah menubuhkan pasukan tindakan pantas dan jawatankuasa khas negeri bersama agensi berkaitan bagi mengawal wabak itu dengan berkesan.

"Petang esok, kami akan mengadakan mesyuarat untuk memperincikan langkah seterusnya dan senarai penuh agensi terbabit dengan bilik gerakan akan dikeluarkan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Redzuan yang mengetuai Bilik Gerakan ASF JPVNS berkata, dalam usaha membendung penularan, JPV juga mengeluarkan Notis Perintah Kuarantin ke atas ladang babi ke atas ladang terbabit dan ternakan tidak dibenarkan keluar atau masuk di kawasan terjangkit.

"Mesyuarat juga memutuskan langkah pemusnahan ternakan mengikut Seksyen 19, Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013)," katanya.

Penularan kes ASF di negara ini dikesan pada pertengahan tahun lalu, apabila 100 ekor babi liar ditemukan mati di hutan simpan Sabah.

Bagaimanapun, siasatan awal JPV Sabah mendapati tiada tanda awal virus ditemukan pada babi itu.

Pada 24 April tahun lalu, lapan daerah di Sabah diisytihar kawasan wabak ASF membabitkan daerah Pitas, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kota Marudu, Sandakan, Telupid dan Tongod.

Pada Jun pula, Limbang, Kapit dan Miri, Sarawak diisytiharkan kawasan kawalan ASF dan pada 24 Disember tahun lalu, JPV mengesahkan penularan ASF di Melaka berikutan tujuh ladang disahkan positif dengan populasi 5,438 ekor babi.

Berita Harian X