Ahad, 10 April 2022 | 11:03am
Anggota polis membawa bungkusan yang mengandungi rangka dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud, Seremban pada 7 April lalu. - Foto BERNAMA

Budak perempuan, wanita pernah tinggal bersama suspek

SEREMBAN: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai rangkanya ditemukan di kawasan belukar dekat Jalan Bukit Zamrud, di sini Khamis lalu dipercayai pernah tinggal bersama suspek wanita yang ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata begitu juga seorang wanita tanpa identiti yang mayatnya dijumpai di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus pada 20 Mac lalu.

"Hasil siasatan mendapati kanak-kanak perempuan itu dan mangsa wanita terbabit tidak mempunyai pertalian, namun masing-masing dipercayai pernah tinggal bersama suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

(Gambar fail) Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
(Gambar fail) Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, polis menemui rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, di Jalan Bukit Zamrud, dalam operasi pencarian yang dilancarkan sejak 28 Mac lalu.

Pada 28 Mac lalu, media melaporkan polis membawa seorang wanita disyaki ada kaitan dengan penemuan mayat seorang wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, ke sebuah kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud.

Seorang suspek turut dibawa ke lokasi penemuan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud, Seremban pada 7 April lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Polis ketika itu enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-duanya mempunyai kaitan.

Dalam pada itu, Nanda berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), termasuk ke atas tengkorak, geraham serta cebisan tulang dijumpai itu, dijangka diperoleh dalam tempoh kira-kira seminggu lagi.

Beliau berkata, ujian DNA itu akan menentukan sama ada tulang terbabit sah milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang atau sebaliknya.

"Kita tunggu laporan daripada pihak forensik dan patalogi dulu. Keputusan DNA itu berkemungkinan akan diperoleh dalam masa seminggu lagi," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Berita Harian X